Friday, July 17, 2009

MALAYSIA ibarat rumah RAKYAT ibarat penghuni

Cuba kita sama-sama bayangkan situasi ini :
Anda adik beradik disuruh oleh ibu bapa anda mengemas rumah pada satu hari di hujung minggu. Abang anda memilih untuk mencabut rumput dan membersihkan halaman untuk mengemas dapur, membasuh pinggan-mangkuk,dan mengelap lantai. Adik anda pula memilih mengemas bilik tidur, melipat kain yang telah diangkat dari jemuran, dan menyapu lantai rumah. Apakah pula tugas anda? Duduk diam sahaja sambil memandang orang lain membuat kerja? Sudah tentu tidak. Anda juga memilih untuk mengemas ruang tamu, mengelap lantai, menyusun dan membersihkan habuk pada perabot dan barang hiasan, menyusun dan membersihkan habuk pada perabot dan barang hiasan, dan sebagainya. Setelah berpenat-lelah dan selesai menjalankan tugasan masing-masing, anda adik-beradik duduk berehat sambil bergurau-senda dan menikmati makanan kegemaran yang dihidangkan oleh ibu. Hasilnya?Rumah anda bersih, tubuh badan anda sekeluarga sihat, dan paling penting, anda sekeluarga hidup aman bahagia! Semua ini dapat dicapai kerana apa? Ya, kerana anda adik-beradik bersatu padu, tiada hasad dengki, dan iri hati! Perpaduan telah wujud di dalam keluarga anda!

Senario di atas hanyalah melibatkan sebuah rumah yang mengandungi satu keluarga. Memanglah mudah suasana di atas dijadikan contoh bagaimana perpaduan itu dapat menghasilkan kebahagiaan kerana ia melibatkan bilangan anggota yang kecil, yang sama keturunan dan bertutur dalam bahasa yang sama, dan terkawal pula segala gerak-gerinya. Namun, jangan ambil mudah kerana jika anggota sesebuah keluarga yang sekecil itu pun jika bersatu padu, dapatkan anda bayangkan keadaan di rumah itu? Sudah tentu penuh dengan pertelingkahan, jerit-perik, maki-hamun, sampah berselerakan, dan suasana yang tidak aman tenteram, jauh sekali mengecapi kebahagian.

Sekarang, cuba pula bayangkan keadaannya dengan sesebuah negara, apatah lagi negara kita Malaysia yang bertuah ini, yang diibaratkan sebagai 'rumah', manakala kita rakyatnya pula sebagai 'penghuni'. Sudahlah kita yang terdiri daripada berlainan keturunan dan kepercayaan, pemimpin pula turut merangkumi pelbagai kaum, masing-masing berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan kaum masing-masing. Sudah tentulah suasananya amat berlainan berbanding dengan keadaan di sebuah rumah. Bayangkalanlah, Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, India, Cina, Serani, kaum Orang Asli, dan kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Bahasa yang dipertuturkan pula adalah pelbagai daripada bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin, bahasa suku kaum, dan sebagainya.

Kebudayaannya pula pelbagai menurut kaum masing-masing. Namun pernahkah anda bertanya mengapa kita semua dapat hidup dengan aman tenteram. Bayangkan jika kita tidak berkerjasama, tolak-ansur, hormat-menghormati, dan saling faham-memahami, apakah yang akan berlaku? Sudah tentulah negara kita porak-peranda jadinya. Kita akan sentiasa diancam ketakutan dan perasaan saling curiga-mencurigai sesama sendiri, seperti yang berlaku di banyak negara luar.

No comments: