Monday, July 13, 2009

100 HARI NAJIB MENTADBIR NEGARA MEMBANGGAKAN

SABTU lepas, 11 Julai 2009, genap 100 hari Datuk Seri Najib Razak menerajui kemudi negara yang sudah berusia kurang sebulan daripada 52 tahun. Najib, 55, anak sulung Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas memimpin negara selama lima tahun. Bagi Najib yang mengambil alih jawatan nombor satu negara dalam suasana yang cukup mencabar dengan krisis ekonomi global yang belum jelas penghujungnya dan ketika iklim politik negara masih belum reda ekoran Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu, beliau dijangka memperingati detik bersejarah itu bersama rakyat dalam perhimpunan khas di ibu negara.
Kira-kira 1,500 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, keturunan dan peringkat umur dijangka akan bersama beliau dan anggota Kabinet serta pegawai tinggi kerajaan, pada acara itu yang bermula pada jam 10 pagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Perdana Menteri dijadualkan berucap kepada khalayak tepat jam 11 pagi pada 11 Julai itu. Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung oleh RTM. Beliau dijangka membuat beberapa pengumuman penting, di samping memperkukuhkan lagi azam dan iltizam yang sering beliau ulangi selama ini, iaitu untuk memenuhi sedaya mungkin setiap aspirasi dan kehendak rakyat. Mesej dan isyarat yang rakyat tunjukkan melalui keputusan pilihan raya umum lalu yang memperlihatkan prestasi terburuk pernah dicapai parti pemerintah sejak merdeka diberi perhatian cukup serius bukan saja oleh Perdana Menteri secara peribadi, malah oleh seluruh anggota Kabinetnya yang beliau sendiri labelkan sebagai 'Kabinet Rakyat.'

Satu lagi petanda jelas mengenai kesungguhan beliau untuk menggerak dan memfokuskan seluruh tenaga rakyat dan kerajaan untuk memacu negara ke arah sebuah negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020 ialah pengenalan konsep '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.' Secara umumnya, konsep berkenaan akan dijadikan teras pentadbiran beliau dalam tempoh satu dekad menjelang matlamat yang dituju. Oleh kerana tempoh yang masih tinggal menjelang tahun keramat itu terlalu suntuk dan cuma boleh diliputi oleh dua rancangan pembangunan lima tahun atau dari segi politiknya dua pilihan raya umum, beliau percaya matlamat yang hendak dicapai itu sukar dipenuhi jika budaya kerja yang diamalkan di negara ini kekal seperti cara sedia ada. Oleh itu, Perdana Menteri mengusulkan agar setiap pihak cuba merombak minda masing-masing untuk tidak lagi berurusan seperti biasa. Di bawah pentadbiran beliau, tidak ada lagi amalan 'business as usual'.

Sebaliknya, apa yang ditekankan ialah setiap tindakan, keputusan, program, rancangan, projek atau dasar yang mahu dilaksanakan bukan saja oleh kerajaan atau agensinya, malah juga oleh rakyat biasa, perlu melalui penilaian kritikal dan inovatif. Semua ini memerlukan gerakan besar-besaran yang fokus dan berterusan. Beliau menamakan gerakan itu sebagai 'Transformasi Nasional'. Ada pihak memandang sinis inisiatif ini dengan menganggap bahawa apa yang Perdana Menteri cuba buat akan hanya tinggal sebagai retorik kosong yang tidak akan membawa sebarang perubahan seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Mereka yang mendendangkan nada sinis ini sebenarnya tidak berlaku adil kepada beliau. Setiap pihak tidak harus mudah lupa bahawa tatkala mula-mula mengambil alih tugas dulu, Perdana Menteri cuma meminta rakyat memberikannya peluang membuktikan kemampuan dan kejujuran beliau. Kini peluang untuk menilai sama ada kesempatan yang diberikan itu walaupun dalam tempoh yang secara relatifnya singkat sudah digunakan dengan baik atau sebaliknya sudah tiba. Penilaian ini perlu dibuat secara objektif tanpa dipengaruhi fahaman politik, pengaruh etnik atau sebarang unsur luaran yang tidak ada kena mengena dengan beliau sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dalam hubung ini, Najib dan pasukannya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada rakyat yang ditakdirkan Allah SWT sebagai pemimpin. Apa pun, pegawai bertugas dengan beliau mengakui bahawa pengalaman bertugas dengan Perdana Menteri sejak 100 lalu adalah satu pengalaman yang agak luar biasa. Mereka tahu bahawa kuatnya beliau bekerja tanpa mengira masa dan kesihatan diri. Bak kata seorang pegawai kanan kerajaan yang terbabit dengan perancangan ekonomi, sejak pentadbiran baru sekarang mengambil alih, beliau tidak pernah 'senang duduk'. Satu demi satu tugasan terpaksa beliau selesaikan secara bertali arus. Secara ketaranya, sejak 100 hari lalu, Perdana Menteri sudah memperkenalkan pendekatan 'walk about' atau tinjauan mesra untuk mengetahui denyut nadi rakyat, mengarahkan kajian menyeluruh untuk menangani isu kenaikan tol bagi mengurangkan beban rakyat, mengarahkan pengambilan langkah segera bagi mengatasi kesesakan lalu-lintas di Kuala Lumpur dan memperkenalkan Biasiswa Nasional khusus kepada pelajar paling cemerlang tanpa mengira kaum. Dari segi ekonomi, beliau memperkenalkan model ekonomi baru yang kerangkanya sedang diperkemaskan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan dan menjamin pengagihan kekayaan lebih adil tanpa meminggirkan mana-mana kaum. Beliau juga sudah meliberalisasikan 27 sektor kecil perkhidmatan, melonggarkan sektor kewangan dan melonggarkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara ini.
Untuk menjaga kepentingan golongan Bumiputera dalam ekonomi, beliau menubuhkan syarikat modal teroka, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebagai entiti yang akan memberi bantuan kewangan dan modal untuk usahawan Bumiputera tulen yang benar-benar gigih untuk berniaga. Dalam menangani krisis ekonomi yang sedang melanda negara sekarang, Perdana Menteri mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM67 bilion, mempermudahkan pengeluaran lesen untuk peniaga kecil dan penjaja oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara bagi merangka pelan jangka panjang ekonomi negara dan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai pengukur prestasi anggota pentadbiran dan penjawat awam. Sebenarnya, senarai pencapaian Najib dalam tempoh 100 hari lalu terlalu panjang untuk dimuatkan dalam ruangan yang terhad ini. Ada di antaranya memerlukan masa lebih panjang untuk menimbulkan kesan sementara yang lain sudah mendatangkan hasil. Namun apa yang lebih penting bukan senarai, tetapi kesungguhan dan kegigihan beliau untuk membela rakyat.
Satu hakikat yang beliau secara peribadi harus berbangga ialah hasil kajian terbaru Merdeka Centre yang menunjukkan bahawa penerimaan rakyat terhadap kepemimpinan beliau kini melonjak kepada 65 peratus daripada 42 peratus sebelum beliau mengangkat sumpah pada 3 April lalu. Ini adalah peratus penerimaan yang paling memberangsangkan jika diambil kira hakikat bahawa beliau memulakan tugas dengan asas yang negatif akibat pelbagai isu legasi yang dihadapi ketika itu. Setengah daripada isu-isu terbabit masih menghantui beliau dan perlu diselesaikan untuk bergerak ke hadapan. Sumber-bharian.

1 comment:

AKULAH GHAIBMAN said...

Salam.
Tahniah kepada PM kita.
Baru 100 hari mcm transformasi di buat.. Bertuah Malaysia..
Selamat Maju jaya PM,kerajaan BN...