Tuesday, July 7, 2009

RUKUN NEGARA MELAHIRKAN BANGSA NASIONAL

Rukun Negara telah diperkenalkan sebagai ideologi negara pada tahun 1970 ekoran daripada peristiwa pergeseran kaum yang amat serius pada 13 Mei 1969. Peristiwa hitam dalam hubungan kaum ini berlaku disebabkan banyak masalah terutama berkaitan dengan perpaduan hubungan kaum, ketidakseimbangan ekonomi, kedudukan Melayu yang tercabar, kelantangan kaum Cina dan kaum-kaum lain mencabar hak dan kedaulatan orang Melayu, aspirasi kejayaan orang Cina menguasai Singapura kepada orang Cina di Malaysia dan kemenangan parti-parti politik Cina di bandar-bandar. Peristiwa hitam dalam hubungan kaum dan perpaduan negara ini memerlukan tindakan yang berani dan tegas dilakukan dengan memperkenalkan Rukun Negara atau Ideologi Nasional yang bertujuan mencapai matlamat-matlamat berikut:
1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.
2. Memelihara satu cara hidup demokratik
3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama
4. Menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak
5. Membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bagi mencapai matlamat ini, Rukun Negara menggariskan beberapa lima prinsip utama yang perlu diamalkan oleh masyarakat Malaysia, iaitu :
1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluruhan Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-Undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

KOLONIALISME DAN PEMBAHAGIAN MASYARAKAT
Kolonialisme kuasa barat, khususnya British di Tanah Melayu telah menyebabkan kebanjiran bangsa asing khususnya Cina dari negara China dan India dari Benua India ke Tanah Melayu sebagai buruh di sektor perladangan, perlombongan biji timah, perkhidmatan, pengusaha dan peniaga serta sebahagian kecil dalam bidang profesional. Masyarakat Melayu sebagai penduduk pribumi masih kekal diluar bandar, di kawasan pedalaman, dengan pekerjaan sebagai petani, nelayan dan pekebun yang bersifat sara diri. Dasar British di Tanah Melayu menyebabkan wujudnya perkembangan masyarakat majmuk atau prural society dan divided society berasaskan pengenalan ciri ekonomi, jenis pekerjaan serta jurang antara bandar dengan luar bandar. Perkembangan yang ketara ialah Cina di bandar, India di ladang-ladang dan Melayu di luar bandar. Pembahagian ini juga mencerminkan masalah dari segi perpaduan kaum, ketidakseimbangan ekonomi, jurang pengagihan kekayaan dan pendapatan, peluang-peluang yang tidak seimbang, kemiskinan dan kemunduran sesuatu kaum, perbezaan taraf hidup, kemajmukan dan konflik dalam hubungan kaum, persaingan dan cabaran terhadap ideologi politik yang bersifat perkauman. Sejarah penjajahan British di Tanah Melayu yang bersifat divide and rule merumitkan lagi asas-asas bagi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu padu, progresif, adil dan saksama, toleransi, hormat-menghormati, kesetiaan kepada negara dan sebagainya. Malaysia juga tidak mempunyai perubahan, perpaduan dan kedinamikan masyarakat yang perlu dibentuk selepas merdeka.

Malaysia berhadapan dengan masalah hubungan kaum yang memerlukan ia ditangani dengan berkesan. Rukun Negara yang diperkenalkan merupakan ideologi sosial dan politik yang memberi tumpuan kepada perubahan masyarakat majmuk yang progresif dan dinamik, di samping merangka pelbagai agenda untuk memperbaiki kedudukan, peranan, status, hak dan keistimewaan orang Melayu tanpa mendiskriminasi kaum-kaum lain. Membina bangsa dan masyarakat dalam gagasan Rukun Negara bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan komitmen dan keazaman politik yang kuat dan disokong dengan dasar-dasar pembangunan serta politik yang kuat dan disokong dengan dasar-dasar pembangunan serta perubahan yang dinamik dan progresif.

PENGUKUHAN DASAR-DASAR KEBANGSAAN
Rukun Negara berteraskan kepada ideologi kebangsaan yang bertujuan membentuk sebuah negara bangsa dalam konteks perpaduan kaum. Ideologi kebangsaan ini digubal dalam dasar-dasar yang diperkenalkan selepas merdeka. Disamping itu, usaha dilakukan bagi membina patriotisme baru atau new patriotism berpaksikan kepada ideologi kebangsaan yang bersifat progresif dan dinamik. Selain itu, unsur-unsur liberalisme, modenisme dan multiculturalisme mencorakkan perubahan, konflik dan keseimbangan yang berlaku. Pengisian dan perlaksaan Rukun Negara bergantung kepada bagaimana ia dijadikan panduan dan rangka tindakan dalam perlaksanaan dasar kebangsaan seperti dasar pendidikan, dasar pembangunan sosial, dasar ekonomi, dasar budaya kebangsaan, dasar tindakan afirmatif ( affirmative action policy ).
Konsep dan ideologi kebangsaan menjadi asas bagi membina kekuatan negara yang menghadapi masalah perpaduan, masalah kesetiaan, masalah perkauman dan masalah keadilan sosial. Tanpa mempunyaiideologi kebangsaan yang kukuh yang mendasari perubahan yang hendak dicapai, Malaysia akan menghadapi pelbagai ancaman baru di sebabkan pengaruh ideologi lain yang bercanggah dengan pembinaan masa depan Malaysia. Ideologi kebangsaan amat menitikberatkan kepada soal-soal perpaduan kaum dan pembinaan sebuah negara yang harmoni, adil dan maju.

MASALAH INTEGRASI
Selain daripada masalah integrasi politik. Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka bergantung kepada integrasi kaum, wilayah dan politik. Kemasukan Sabah dan Sarawak sebagai satu gagasan politik Malaysia yang berintegrasi memerlukan bidang kuasa kerajaan Persekutuan ( federal government ), kerajaan negeri ( state government) dan konsep Persekutuan ( federation ) diperkukuhkan bagi memantapkan integrasi politik serta membina gagasan politik kebangsaan. Namun, keadaan masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk dan kurang mempunyai kesedaran kebangsaan dan kenegaraan memerlukan ideologi kebangsaan ( Rukun Negara ) beroperasi dengan lebih berkesan dalam konteks pembinaan negara dan bangsa Malaysia.

No comments: