Sunday, March 28, 2010

BN wajar tentukan calon Hulu Selangor

Calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan dalam masa terdekat calonnya yang akan bertanding pada Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penentuan calon akan dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi BN.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad, kelmarin. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen tersebut pada 2 April ini.

Selain MIC, UMNO Selangor turut dikatakan mahu supaya calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti. Ditanya peluang BN dalam pilihan raya kecil tersebut, Muhyiddin yakin parti itu mampu merampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan banyak fakta dan bahan yang boleh memberi isyarat kepada rakyat siapa yang seharusnya dipilih.

Bagaimanapun, kita tidak hendak terlalu yakin. Kita akan bekerja keras kerana kita tahu pengundi adalah 'raja' yang akan menentukannya. "Jentera parti sentiasa bersiap sedia dan akan bekerja keras serta tidak bersikap leka di sebalik pelbagai kelemahan yang terserlah dalam pakatan pembangkang,"

Kita harus bekerja untuk BN dan menenangi calon BN di Hulu Selangor. Dengan ada senario pembangkang PKR yang kucar kacir seperti telur dihujung tanduk. Kita boleh menang dan merampaskan kembali kawasan Parlimen Hulu SELANGOR Insyallah...ALLAH SWT bersama dengan orang-orang yang sabar, mempejuangkan bangsa dan negara, bukannya menghuru harakan negara..hi3... 1 MALAYSIA..

Tuesday, March 23, 2010

DSAI mengelirukan gagasan 1Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi masa seminggu untuk menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditiru daripada slogan 1Israel.

Ia berikutan tindakan Anwar menuduh pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan perkara itu setelah bersetuju permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya Anwar diberi tempoh untuk membuat penjelasan kepada Parlimen berhubung isu tersebut.

"Sehubungan itu, sebarang tindakan lanjut selepas ini sama ada Ketua Pembangkang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atau tidak, ia akan diputuskan selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut memberi penjelasannya," kata Kiandee di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun isu yang pada asalnya di bangkitkan oleh Datuk Abd. Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sebaik sahaja tamat sesi soal jawab kira-kira pukul 11.30 pagi telah mencetuskan perang mulut.

Keadaan panas itu berlanjutan satu jam 10 minit dan pada satu peringkat membangkitkan kemarahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas). Ini kerana ketika itu gilirannya untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Abd. Rahman ketika membangkitkan isu itu berkata, berdasarkan muka surat 76 hansard Parlimen bertarikh 17 Mac 2010, Anwar telah menyatakan bahawa pada 2009 syarikat perunding Apco Worldwide memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Najib.

Menurut Anwar, syarikat yang sama telah memberi nasihat berhubung slogan 1Israel pada 1999 kepada Ehud Barak yang menjadi Perdana Menteri Israel ketika itu.

Abd. Rahman berkata, kenyataan Anwar bercanggah apabila syarikat perunding berkenaan tampil membuat penafian sehari selepas itu termasuk penglibatannya dengan Kerajaan Israel.

"Saya berpendapat bahawa Anwar ternyata mengeluarkan kenyataan sebagai seorang manusia yang tidak sabar menjadi Perdana Menteri hingga sanggup mencemar nama baik Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Namun, kebenaran yang diberi oleh Kiandee kepada Abdul Rahman mendatangkan rasa tidak puas hati kepada Saifuddin Nasution (PKR- Machang) serta beberapa ahli pembangkang lain seperti Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena).

Saifuddin mempertikaikan kebenaran itu kerana beliau berpendapat ia tidak mengikut aturan mesyuarat.

Datuk Ronald Kiandee kemudian berkata, kebenaran itu diberikan ialah berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 37(1) yang dibaca bersama 36(12).

Saifuddin mendesak Timbalan Speaker itu membenarkannya berhujah mengguna pakai aturan yang sama berhubung kenyataan yang dikeluarkan Mohamed Nazri pada sidang sebelum ini yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Selepas permohonannya dibenarkan, Saifuddin mendakwa Mohamed Nazri mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik undang-undang yang telah dimansuhkan ketika menggulung perbahasan dalam isu royalti minyak kepada Kelantan.

Mohamed Nazri yang diminta menjelaskan perkara itu berkata, beliau sedia disiasat berdasarkan hansard Parlimen.

"Saya anak jantan, tidak ada masalah (senyum)... saya rela disiasat. Apa yang saya jawab tidak berhasrat untuk kelirukan Dewan... saya anak jantan, anak betina di sana tak taulah," katanya.

Ungkapan 'anak betina' yang digunakan beliau terus menghangatkan lagi suasana Dewan Rakyat apabila beberapa anggota Parlimen wanita pembangkang bangun membantah dan mendesak Mohamed Nazri menarik balik perkataan tersebut.

Datuk Ronald Kiandee kemudian menenangkan suasana dengan menyatakan bahawa anggota Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat jahat dan ungkapan 'betina' yang diguna beliau membawa maksud 'tak berani'.

"Saya buat keputusan tidak ada niat jahat. Masalahnya, perkataan itu sekarang ini disalah guna, diolah begitu rupa oleh Yang Berhormat Ampang, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan salah erti lagi," kata Datuk Ronald Kiandee.

Tuesday, March 16, 2010

Dimana Rasa Cinta dan Kasih Sehingga Sanggup Membuang Bayi,Mendera & Merogol.

Tangisan seorang bayi yang baru menjenguk dunia pasti mengundang air mata ibu yang melahirkannya. Kesakitan serta-merta hilang diganti dengan rasa syukur dan bangga bergelar ibu.

Suara bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari itu juga bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya. Namun sayang sekali, kini tangisan kelahiran itu tidak lagi menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu. Malah ada ibu yang sanggup melenyapkan tangisan pertama zuriat yang dia lahirkan hanya kerana seorang lelaki. Lalu tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi.
Di mana harga kasih seorang ibu? Di mana letaknya nilai kemanusiaan fitrah wanita yang Allah SAW kurniakan kepada kaum Hawa?

Bermula dengan Oktober tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan. Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.
Dua minggu lalu, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia kerana didera teman lelaki ibunya.

Saya pasti ramai yang menitiskan air mata kala menatap seraut wajah Syafiah yang bagaikan tidur nyenyak ketika jenazahnya dikafankan. Ibarat sekuntum bunga yang cantik dan semerbak harumnya begitulah wajah manis anak tidak berdosa itu yang kematiannya menjadikan ramai ibu-ibu tidak lelap mata kerana simpati dan sedih yang amat sangat termasuk juga saya.

Pada 1 Mac, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput di dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di Segamat. Wanita itu dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya di dalam bungkusan plastik lalu ditinggalkan dalam tandas wanita pusat latihan memandu itu sebelum ditemui seorang kakitangan pusat latihan di situ. Sedihnya kerana mayat bayi malang itu ditemui kira-kira dua hingga lima hari selepas dibuang. Wanita yang dipercayai ibunya ditahan kurang 24 jam selepas mayatnya ditemui. Bayangkan! Itukah nilai kasih sayang seorang ibu?

Kisah sedih lagi menyayat hati ini adalah antara sebahagian lakonan hidup manusia yang semakin keliru dengan kehidupan mereka. Bukan satu atau dua tetapi telah banyak kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berlaku. Semuanya mendukacita dan memalukan. Dan saya pasti kejadian ini akan berterusan entah sampai bila selagi kita sebagai manusia dan ahli masyarakat tidak insaf dan mengambil iktibar akan segala kejadian yang berlaku. Ke mana hilangnya status institusi keluarga kita yang satu ketika bagaikan keluargaku syurgaku?

Apakah kerana cinta dihalang atau memang kerana rakusnya nafsu manusia fenomena ini bermaharajalela tanpa belas kasihan? Tidak dinafikan masalah rumah tangga dan keluarga menjadi salah satu punca berlakunya kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Nyata institusi keluarga kita semakin goyah. Kasih sayang antara ahli keluarga semakin pupus, ibu bapa bersikap lepas tangan lalu kehidupan berkeluarga sekarang menjadi ibarat masing-masing perahu masing-masing kayuh. Sampai atau tidak ke daratan, sendiri yang jawab.
Remaja atau wanita yang sudah berstatus ibu tunggal atau yang belum berkahwin kerap terjebak dengan cinta tiada noktah ini. Cinta datang dan pergi setelah nafsu disempurnakan.
Pengalaman bertemu penghuni beberapa buah rumah pemulihan dan perlindungan menjadikan saya percaya bahawa kebanyakan kes hubungan terlarang yang membawa kepada perkara terkutuk ini berpunca daripada kejujuran dan kesetiaan tidak bertempat kaum wanita terhadap pasangan mereka.

Terlalu daif tentang agama, percayakan kekasih, ingin mencuba seks, dirogol, pengaruh kawan-kawan yang negatif dan suka sama suka menjadi kata kunci berlakunya perbuatan keji yang menjadikan kaum wanita ini sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan cinta kasih kepada pasangan mereka.

Cinta juga meletakkan kebanyakan ibu tunggal yang kesepian berada dalam keadaan keliru untuk mendahulukan anak kandung atau kekasih hati. Kerana cinta semuanya dituruti. Apabila nafsu mengatasi keimanan maka syaitan akan berada di tengah-tengah. Kerana cinta juga mereka sanggup melihat anak sendiri diseksa dan dianiaya sedangkan itu darah daging yang menjadi bukti benih cinta terdahulu.
Kematian Syafiah Humairah memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mengabaikan sebarang kes penderaan sebaliknya lebih membuka mata dan telinga untuk melaporkan sebarang rasa curiga terhadap individu yang dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak. Jangan apabila sudah berlaku semua mahu membuka mulut dan bercerita.
Kepada wanita dan ibu tunggal yang sedang mencari cinta baru, hati-hatilah. Cinta bukan segala-galanya, tolonglah jangan tinggalkan anak-anak anda bersama teman lelaki jika tidak mahu melihat hidup mereka musnah dek cinta anda yang belum diketahui nokhtahnya.
Sanggupkah anda melihat ini semua berterusan? Jika tidak, ayuh kita sedarkan masyarakat supaya bangkit melindungi kanak-kanak dan jangan bersikap sambil lewa. Biarlah dianggap menjaga tepi kain orang asalkan satu nyawa dapat diselamatkan.

Buat ibu bapa, luangkan masa berkualiti dengan anak-anak, pupuk dan berilah kasih sayang kepada ahli keluarga anda kerana ia satu keperluan dan tanggungjawab. Jangan apabila terjadi seperti Safiah Humairah atau Aaliyah baru kita tersentak. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur. Aduhai Syafiah Humairah Sahari, bersemadilah dengan tenang di alam baqa. Di situlah tempat paling aman dan bahagia buat seorang anak yang suci bersih sepertimu. Al-fatihah!