Tuesday, January 26, 2010

King Ghaz Pahlawan Negara

ALLAHYARHAM Tun Ghazali Shafie cukup terkenal dengan sikap tegasnya terutamanya ketika menjalankan tugas. Kerana sifat tegas itulah beliau diberikan gelaran 'King Ghaz' oleh mereka yang pernah mengenali beliau. Biarpun tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet sejak 1984, King Ghaz pernah sesekali dilihat menghadiri majlis syarahan umum atau perbincangan ilmiah anjuran pelbagai pihak termasuk kumpulan kajian strategik tempatan dan antarabangsa.

Penulis sendiri pernah melihat Allahyarham aktif berkongsi pandangan dan pengalaman dengan para peserta dalam satu majlis perbincangan beberapa tahun yang lalu.
Sumbangan beliau kepada negara :
bermula pada tahun 1941 apabila menjadi ahli Pasukan Sukarelawan Malaya. Pada tahun 1961 pula beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Antara sumbangan besar beliau kepada negara ialah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

King Ghaz mula menyandang jawatan dalam Kabinet pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan kemudiannya Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan pada tahun 1972.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan sehingga Julai 1981 sebelum menjadi Menteri Luar dan meletak jawatan pada 1984.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi menyifatkan King Ghaz sentiasa bersikap hands on dan mengetahui sesuatu isu dari segala sudut semasa memimpin Kementerian Dalam Negeri.
"King Ghaz dihormati, disegani dan kadangkala digeruni oleh lawan dari dalam dan luar negara. Idea dan pendekatan beliau pada masa itu merupakan pendekatan di luar kotak. "Walaupun sekarang isu yang saya hadapi adalah berbeza seperti keganasan dan pendatang asing pengalaman, beliau tetap relevan kepada saya yang sekarang ini memikul amanah yang sama," katanya.

Sungguhpun pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet, jawatan terakhir Allahyarham iaitu Menteri Luar menjadikan beliau dikenang sehingga hari ini sebagai ikon dan legenda oleh mereka yang berpengalaman bertugas bersama beliau di Wisma Putra.
Bekas diplomat, Datuk Dr. Rajmah Hussain yang pernah menjadi Duta Wanita Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat (AS) pernah memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris lebih dua tahun lalu bahawa King Ghaz merupakan mentor beliau.

"Dengan King Ghaz, anda perlu sentiasa bersedia sepanjang masa. Beliau sentiasa mengharapkan pegawainya memberikan yang terbaik," jelas Rajmah kepada akhbar berkenaan. Dalam laporan tersebut, beliau turut mengimbau kenangan mengikuti King Ghaz ke India sebagai pegawai baru di Wisma Putra.

Ketika itu King Ghaz meminta Rajmah menyediakan pelbagai dokumen dan selepas semua tugasan di India selesai, pembantu King Ghaz pada ketika itu memberitahu Rajmah secara berbisik bahawa beliau sudah 'lulus' semua ujian yang diberikan oleh bosnya.
Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1980-1984 Tan Sri Zainal Abidin Sulong (yang pernah bekerja bersama Allahyarham ketika proses pembentukan Malaysia) berpendapat King Ghaz sebagai seorang yang berpengaruh dan mempunyai kemahiran meyakinkan orang lain.

Ketika diwawancara oleh sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris Zainal Abidin menyifatkan King Ghaz memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia.

"Beliau begitu rapat dengan Allahyarham Tun Razak, jika tidak silap, mereka merupakan rakan sekolah. Beliau juga berjaya meyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak banyak tahu mengenai politik.

"King Ghaz adalah seorang pemimpin yang mampu meyakinkan sesiapa sahaja termasuk semua pihak ketika di Kementerian Luar. Ya, beliau sangat berpengaruh.
"Dan ketika pembentukan Malaysia, beliau belum pun menjadi seorang menteri atau timbalan menteri. Hanya seorang penjawat awam. Tanpa King Ghaz perbincangan akan tidak ke mana-mana.

"Saya boleh katakan King Ghaz bukan sahaja bertindak sebagai jurucakap dalam proses pembentukan Malaysia tetapi pemangkin kepada idea pembentukan Malaysia. Saya berasa bertuah bekerja bersama King Ghaz," katanya dalam wawancara itu.

Mengenang kembali kenangan bertugas bersama King Ghaz di Kementerian Luar pula, Zainal Abidin menganggap ia merupakan tempoh terbaik sepanjang kerjaya beliau.

Monday, January 11, 2010

Lempar bom petrol, Salah Siapa?

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan insiden gereja dilempar bom petrol sehingga ada yang terbakar tidak bermakna semangat 1Malaysia telah menemui kegagalan. Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak menuding jari kepada parti itu kerana UMNO turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ganas seperti itu.

Malah katanya, UMNO mahu polis mengesan pihak yang melakukan jenayah tersebut dan menghukum mereka mengikut undang-undang negara."Kita menegakkan prinsip adil dan saksama kepada semua kaum, sebab itu bila saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara saya telah menekankan perkara ini melalui 1Malaysia.

"Jangan disebabkan satu dua gereja terbakar ada yang nak kata ini menafikan 1Malaysia. Ia tidak menafikan semangat 1Malaysia, semangat 1Malaysia akan tetap kita perjuangkan sebagai parti yang berkuasa," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata, di sini hari ini. Pada sidang akhbarnya selepas itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat khas Majlis Raja-Raja tidak perlu bersidang buat masa ini untuk membincangkan isu-isu membabitkan orang Islam dan Kristian.

"Setakat ini tidak perlu tapi kita tengok perkembangannya sebab raja-raja faham kedudukan pada masa ini. "Mereka semua mengharapkan isu ini diselesaikan dengan cara baik melalui lunas undang-undang dan semua pihak perlu saling menghormati satu sama lain," katanya.

Mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penjenayah yang melempar bom petrol sehingga menyebabkan kebakaran gereja, Najib berkata apa yang lebih penting ialah mendapatkan bukti terlebih dahulu. Katanya lagi, negara ini mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menghukum mereka. Sama2 lah kita fikirkan dan nantikan keputusannya..Semoga keputusan itu adil dan diterima oleh kedua-dua penganut Islam dan Kristian elakkan perpecahan amalkan perpaduan..Amin...Insyallah..

Wednesday, January 6, 2010

PM menghadap Agong Isu Kalimah ALLAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini bagi mempersembahkan taklimat mengenai isu kebenaran Herald The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly dengan alasan gereja itu berhak berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakimannya, beliau memutuskan bahawa mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.
Menurut Bee Lan, bukanlah satu kesalahan bagi seseorang yang bukan Islam menggunakan perkataan itu untuk menyebarkan agama selagi ia tidak digunakan terhadap seorang Muslim.
Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi God dalam bahagian bahasa Malaysia.

Hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi berkenaan. Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama Kristian di Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Malaysia. Kita berharap isu diselesaikan kerana boleh membabitkan keliruan dan perpecahan penganut Islam dan Kristian lagi pun ia isu sensitif kaum.

Thursday, December 31, 2009

AHLI PARLIMEN PERLU MENDISIPLINKAN DIRI DI SIDANG DEWAN

Satu sistem penggiliran di kalangan Menteri dan Timbalan Menteri selaku pengawas perlu dikuatkuasakan bagi memastikan kehadiran Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencukupi semasa sidang Dewan Rakyat berlangsung. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan itu yang telah dipraktikkan pada dua sesi Parlimen lepas tetapi bukan ketika ini, terbukti berkesan dengan tahap kewaspadaan ditingkatkan menjelang berlaku pengundian.

‘‘Katakan hari ini (sidang Dewan), saya selaku menteri diwajibkan hadir dalam Dewan dan apabila berlaku pengundian, saya akan mengingatkan semua Ahli Parlimen BN tentang kewajipan mereka untuk hadir. ‘‘Dalam segmen ini, semua menteri atau timbalan menteri akan diberikan tarikh mereka wajib hadir. Jika pada dua sesi sebelum ini, kehadiran mereka sepanjang hari, mungkin kali ini diwajibkan sekitar empat hingga lima jam. Dan sekiranya Ahli Parlimen berkenaan gagal hadir sidang, maka tindakan disiplin yang sesuai harus difikirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa satu sistem pengawasan dan penyampaian maklumat akan diwujudkan bagi memastikan kehadiran Ahli Parlimen BN mencukupi semasa sidang Dewan Rakyat. Menurut Perdana Menteri, sistem itu membolehkan Ahli Parlimen BN memastikan jumlah kehadiran mereka di Parlimen dapat menjamin kemenangan selesa kepada parti jika berlaku pengundian.

Kejadian pada 14 Disember lalu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah-bagi iaitu 66 menyokong dan 63 menolak. Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu, satu peraturan akan dikuatkuasakan melarang Ahli Parlimen BN menghadiri program atau mesyuarat luar yang tidak perlu ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung. Kabinet juga tidak membenarkan lawatan ke luar negara tanpa mendapat kelulusan. SEMOGA SISTEM PENGGILIRAN DAPAT MENDISIPLINKAN AHLI PARLIMEN MENGHADIRI SIDANG DEWAN!!!...

Thursday, November 5, 2009

BERSYUKURLAH!!!...RAKYAT KELANTAN MENDAPAT WANG IHSAN

Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberikan wang ihsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Perdana Menteri berkata, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.

Ini kerana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, wang ihsan itu akan diberi dalam bentuk projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di Kelantan.“Keputusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan setiap lapisan masyarakat Kelantan menikmati manfaat pembangunan negara.“Ia selaras pendekatan inklusif dan semangat 1Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ini juga mengambil kira keperluan untuk terus membangunkan Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, selaras arus pembangunan perdana negara,” katanya. Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib memberitahu, Petronas memaklumkan pada masa ini hanya terdapat sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil di Kelantan, yang terletak di luar perairan negeri tersebut iaitu medan Bumi Selatan dalam Blok PM301.
pemberian wang ihsan kepada Kelantan akan mengambil kira pengeluaran dan penjualan dari medan petroleum Bumi Selatan berkenaan. “Wang ihsan itu akan disalurkan setelah maklumat terperinci jumlah pengeluaran gas dan tatacara berkaitan dimuktamadkan. Peruntukan pertama wang ihsan bagi Kelantan dijangkakan pada 2010,” katanya.

Dewan rakyat membahaskan isu wang ihsan ini. Salahuddin dalam soalan tambahannya meminta penjelasan Najib mengapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti seperti termaktub dalam Akta 144 Petronas.
Najib kemudian menjawab: “Janganlah cuba mempolitikkan perkara ini, tidak habis-habis dengan politik.”
Ketika inilah wakil pembangkang membuat kecoh dengan mencelah mempertikaikan jawapan Perdana Menteri itu, antaranya Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam).“Buktikan 1Malaysia, bayarlah... itu adalah hak Kelantan,” kata Dzulkefly. PM Najib sentiasa tenang sepanjang berada di Dewan Rakyat hari ini kemudian menjawab: “Selama ini Kelantan tidak mempunyai hak untuk menerimanya, ini melibatkan kawasan pertindihan. “Baru-baru ini sahaja dapat disahkan bahawa ada blok yang boleh dipertimbangkan, maka kita akan pertimbangkan bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat.”
Kesimpulannya BERSYUKURLAH...Kerajaan Persekutuan tetap memberi imbuhan kepada rakyat Kelantan walaupun ia negeri pembangkang.

Monday, October 26, 2009

UMNO & PAS PERLU RUNDINGAN UNTUK PERPADUAN UMMAH

UMNO menegaskan komitmennya untuk mengadakan rundingan dengan Pas dalam mengukuhkan perpaduan ummah tidak ada titik noktah meskipun parti pembangkang itu kini mengalami krisis kepimpinan yang kritikal akibat isu kerajaan perpaduan. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah UMNO menerusi pendirian presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak kerana perpaduan ummah yang akan dicapai kelak membabitkan kepentingan menyeluruh orang Melayu dan bukan Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh orang Melayu termasuk sebilangannya yang 'meninggalkan' parti itu sebelum ini supaya kembali bertaut di bawah UMNO demi menjayakan proses perubahan khususnya gagasan 1Malaysia yang digerakkan oleh Perdana Menteri.
''UMNO tidak tetapkan tempoh tertentu (rundingan dengan semua pihak untuk kukuh perpaduan ummah), tidak ada titik noktah dan penutupnya.
''Maka atas dasar perubahan yang digerakkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang mahu melihat perpaduan itu terjalin, maka marilah kita tanpa mengira ideologi politik mencari jalan untuk memajukan negara ini, ini untuk kebaikan orang Melayu dan bukan Melayu,"
katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO percaya krisis kepimpinan dalam Pas bukan semata-mata disebabkan isu kerajaan perpaduan.

''Apabila Datuk Nik Abdul Aziz nak adakan EGM untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengannya, ia bererti perpecahan kepimpinan sudah sedia ada dalam parti itu,'' katanya.
Cadangan kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta disokong Nasharuddin yang juga timbalannya bagaimanapun ditentang hebat oleh Nik Abdul Aziz serta semua sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

BURSA MALAYSIA DIJANGKA TINGGI

Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu ini disokong oleh cadangan positif yang terkandung dalam pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat. Pendekatan pengukuhan fiskal kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit melonjakkan keyakinan pasaran dan keputusan kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit kepada 5.6 peratus pada 2010, daripada 7.4 peratus tahun ini, juga membawa keceriaan kepada pelabur.

Menyifatkan pengurangan bajet defisit sebagai satu 'langkah yang baik', para peniaga berkata, bajet mesra rakyat itu dijangka dapat mengekalkan momentum pasaran bagi minggu depan.
Mereka berkata, penekanan Bajet 2010 kepada pengurusan fiskal berhemat dan penggalakan 'nilai bagi wang' akan menjadikan negara sebagai ekonomi pendapatan tinggi.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata, kenaikan itu mungkin terhad memandangkan faktor-faktor luar lain yang masih kritikal kepada pasaran seperti pergerakan Wall Street dan pasaran serantau serta pendapatan korporat tempatan. Seorang penganalisis menjangkakan bajet itu mencukupi untuk membantu mengekalkan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada paras semasa tetapi jumlah dagangan mungkin kekal kecil ketika pasaran menjalani sedikit pembetulan.

Bajet itu akan memberi faedah kepada beberapa sektor secara langsung dan juga tidak secara langsung seperti hartanah, pembinaan, perlombongan, telekomunikasi dan teknologi, kata Ketua Inter-Pacific Research, Anthony Dass. "Beberapa langkah dalam bajet itu tepat pada masa untuk merangsang pasaran kekal menaik," kata Dass.
Pada Jumaat, FBM KLCI mencecah paras tertinggi baharu bagi tahun ini pada 1,267.1 apabila pasaran memberi reaksi positif kepada kekukuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman Bajet 2010. Indeks penanda aras itu naik 10.33 mata kepada 1,267.1, Indeks FBM Emas meningkat 55.72 mata kepada 8,515.58, Indeks FBM Top 100 menokok 60.17 mata kepada 8,302.55, FBM70 menambah 31.39 mata kepada 8,384.73 tetapi Indeks FBM ACE berkurangan 6,007.9 mata kepada 10,319.05.

Indeks Kewangan meningkat 177.89 mata kepada 10,613.87, Indeks Perladangan naik 81.3 mata kepada 6,206.49 dan Indeks perusahaan menokok 22.83 mata kepada 2,701.68.
Jumlah dagangan minggu yang baru berakhir berkurangan kepada 5.044 bilion saham bernilai RM6.428 bilion daripada 5.353 bilion saham bernilai RM6.183 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.408 bilion saham bernilai RM6.289 bilion daripada 4.750 bilion saham bernilai RM6.066 bilion sebelumnya. Jumlah dagangan waran belian jatuh kepada 106.79 juta saham bernilai RM27.657 juta daripada 110.489 juta saham bernilai RM27.935 juta minggu sebelumnya.-BERNAMA.