Tuesday, January 26, 2010

King Ghaz Pahlawan Negara

ALLAHYARHAM Tun Ghazali Shafie cukup terkenal dengan sikap tegasnya terutamanya ketika menjalankan tugas. Kerana sifat tegas itulah beliau diberikan gelaran 'King Ghaz' oleh mereka yang pernah mengenali beliau. Biarpun tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet sejak 1984, King Ghaz pernah sesekali dilihat menghadiri majlis syarahan umum atau perbincangan ilmiah anjuran pelbagai pihak termasuk kumpulan kajian strategik tempatan dan antarabangsa.

Penulis sendiri pernah melihat Allahyarham aktif berkongsi pandangan dan pengalaman dengan para peserta dalam satu majlis perbincangan beberapa tahun yang lalu.
Sumbangan beliau kepada negara :
bermula pada tahun 1941 apabila menjadi ahli Pasukan Sukarelawan Malaya. Pada tahun 1961 pula beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Antara sumbangan besar beliau kepada negara ialah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

King Ghaz mula menyandang jawatan dalam Kabinet pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan kemudiannya Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan pada tahun 1972.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan sehingga Julai 1981 sebelum menjadi Menteri Luar dan meletak jawatan pada 1984.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi menyifatkan King Ghaz sentiasa bersikap hands on dan mengetahui sesuatu isu dari segala sudut semasa memimpin Kementerian Dalam Negeri.
"King Ghaz dihormati, disegani dan kadangkala digeruni oleh lawan dari dalam dan luar negara. Idea dan pendekatan beliau pada masa itu merupakan pendekatan di luar kotak. "Walaupun sekarang isu yang saya hadapi adalah berbeza seperti keganasan dan pendatang asing pengalaman, beliau tetap relevan kepada saya yang sekarang ini memikul amanah yang sama," katanya.

Sungguhpun pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet, jawatan terakhir Allahyarham iaitu Menteri Luar menjadikan beliau dikenang sehingga hari ini sebagai ikon dan legenda oleh mereka yang berpengalaman bertugas bersama beliau di Wisma Putra.
Bekas diplomat, Datuk Dr. Rajmah Hussain yang pernah menjadi Duta Wanita Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat (AS) pernah memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris lebih dua tahun lalu bahawa King Ghaz merupakan mentor beliau.

"Dengan King Ghaz, anda perlu sentiasa bersedia sepanjang masa. Beliau sentiasa mengharapkan pegawainya memberikan yang terbaik," jelas Rajmah kepada akhbar berkenaan. Dalam laporan tersebut, beliau turut mengimbau kenangan mengikuti King Ghaz ke India sebagai pegawai baru di Wisma Putra.

Ketika itu King Ghaz meminta Rajmah menyediakan pelbagai dokumen dan selepas semua tugasan di India selesai, pembantu King Ghaz pada ketika itu memberitahu Rajmah secara berbisik bahawa beliau sudah 'lulus' semua ujian yang diberikan oleh bosnya.
Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1980-1984 Tan Sri Zainal Abidin Sulong (yang pernah bekerja bersama Allahyarham ketika proses pembentukan Malaysia) berpendapat King Ghaz sebagai seorang yang berpengaruh dan mempunyai kemahiran meyakinkan orang lain.

Ketika diwawancara oleh sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris Zainal Abidin menyifatkan King Ghaz memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia.

"Beliau begitu rapat dengan Allahyarham Tun Razak, jika tidak silap, mereka merupakan rakan sekolah. Beliau juga berjaya meyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak banyak tahu mengenai politik.

"King Ghaz adalah seorang pemimpin yang mampu meyakinkan sesiapa sahaja termasuk semua pihak ketika di Kementerian Luar. Ya, beliau sangat berpengaruh.
"Dan ketika pembentukan Malaysia, beliau belum pun menjadi seorang menteri atau timbalan menteri. Hanya seorang penjawat awam. Tanpa King Ghaz perbincangan akan tidak ke mana-mana.

"Saya boleh katakan King Ghaz bukan sahaja bertindak sebagai jurucakap dalam proses pembentukan Malaysia tetapi pemangkin kepada idea pembentukan Malaysia. Saya berasa bertuah bekerja bersama King Ghaz," katanya dalam wawancara itu.

Mengenang kembali kenangan bertugas bersama King Ghaz di Kementerian Luar pula, Zainal Abidin menganggap ia merupakan tempoh terbaik sepanjang kerjaya beliau.

No comments: