Tuesday, February 9, 2010

Hayati Empat Tonggak Utama Perubahan Penjawat Awam

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat tonggak utama agenda perubahan kerajaan termasuk konsep '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Perdana Menteri berkata, selain konsep 1Malaysia, tonggak-tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (PTK), Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10.

"Agenda kerajaan berdiri atas empat tonggak ibarat sebuah kerusi. Kalau ia merupakan kerusi yang stabil (dan) hendak duduk kita rasa selamat, sebaik-baiknya kerusi perlu ada empat kaki," katanya.

Beliau menjelaskan, dasar rakyat didahulukan adalah satu pendekatan yang mahu memperlihatkan bahawa kerajaan sekarang 'untuk rakyat dan kerana rakyat.'

"Ia bukan kerajaan untuk perniagaan korporat yang besar sebaliknya kerajaan rakyat.

"Jadi inilah yang perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di JPM.

Perdana Menteri menegaskan, gagasan 1Malaysia bukan sekadar retorik sebaliknya membawa pengertian mendalam dari segi dasar pendekatan dan perubahan yang ingin dilakukan oleh kerajaan. Katanya, ia merupakan satu dasar yang murni bagi memacu perpaduan nasional dan kestabilan negara.

"Kita bergerak dalam satu keluarga besar menuju matlamat yang sama.

"Kerana dalam perjalanan kita mungkin timbul perkara yang tidak disengajakan atau dilakukan oleh mana-mana individu atau kumpulan yang ingin merosakkan keharmonian negara," katanya.

Najib berkata, penjawat awam juga perlu memastikan pencapaian diutamakan kerana kerajaan tidak mahu rakyat memandang sinis terhadap dasar-dasar yang diumumkan kerana mempunyai banyak persoalan ketika pelaksanaan.

Perdana Menteri berkata, dasar itu mempunyai hubungan rapat dengan tonggak kedua iaitu PTK yang mana ia merupakan komitmen daripada penjawat awam untuk melaksanakannya.

"Tonggak ketiga ialah Model Ekonomi Baru (MEB) yang mana kita akan bentangkan pada penghujung Mac ini bertujuan memberikan satu suntikan kepada pembangunan negara supaya berdaya saing.

"Kita akan berpindah kepada negara yang kompetitif dan ini akan mengukuhkan strategi ekonomi untuk negara," katanya.

Beliau berkata, tonggak keempat ialah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang mengandungi banyak ketetapan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan MEB.

"Jadi, ini empat kaki (tonggak) yang penting kepada agenda kerajaan untuk 2010.

"Saya harap semua penjawat awam akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat," kata beliau.

Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perpaduan nasional tidak harus dibiarkan.

"Ingat! Bara kecil yang tidak dipadamkan boleh menjadi api yang menghancurkan dan membinasakan.

"Jadi, kalau gereja dibakar, surau dibakar dan kepala babi dicampak ke dalam masjid, ini suatu perkara yang mesti ditangani oleh kita bersama,'' tegasnya.

Justeru beliau menekankan bahawa gagasan 1Malaysia amat penting bagi memupuk rasa kekeluargaan walaupun rakyat negara ini terdiri daripada kumpulan etnik, agama dan budaya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga mahu kakitangan awam memberikan penekanan kepada pemikiran kreatif dan inovatif.

"Konsep mewujudkan nilai kreatif mesti diaplikasikan dalam ekonomi dan pembangunan negara kita.

"Saya tidak mahu lagi pemikiran kita di tahap lama tetapi mewujudkan nilai," katanya.

Beliau memberi contoh sekiranya projek membina hospital menelan kos sebanyak RM1.4 juta bagi satu katil, maka sudah tentu ada pendekatan untuk melaksanakannya dengan kos RM500,000.

Selain itu, katanya, penjawat awam juga perlu membuat keputusan dengan pantas kerana ia mempunyai kaitan dengan tahap daya saing Malaysia dalam rekod dunia.

"Kalau Malaysia berada di kalangan 10 tangga teratas dari segi daya saing, sudah tentu orang akan melihat kita mempunyai kemampuan tinggi.

"Inilah agenda dan aliran pemikiran kita yang kalau digabungkan, Insya-Allah, 2010 boleh menjadi tahun yang berjaya.

No comments: