Monday, October 26, 2009

UMNO & PAS PERLU RUNDINGAN UNTUK PERPADUAN UMMAH

UMNO menegaskan komitmennya untuk mengadakan rundingan dengan Pas dalam mengukuhkan perpaduan ummah tidak ada titik noktah meskipun parti pembangkang itu kini mengalami krisis kepimpinan yang kritikal akibat isu kerajaan perpaduan. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah UMNO menerusi pendirian presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak kerana perpaduan ummah yang akan dicapai kelak membabitkan kepentingan menyeluruh orang Melayu dan bukan Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh orang Melayu termasuk sebilangannya yang 'meninggalkan' parti itu sebelum ini supaya kembali bertaut di bawah UMNO demi menjayakan proses perubahan khususnya gagasan 1Malaysia yang digerakkan oleh Perdana Menteri.
''UMNO tidak tetapkan tempoh tertentu (rundingan dengan semua pihak untuk kukuh perpaduan ummah), tidak ada titik noktah dan penutupnya.
''Maka atas dasar perubahan yang digerakkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang mahu melihat perpaduan itu terjalin, maka marilah kita tanpa mengira ideologi politik mencari jalan untuk memajukan negara ini, ini untuk kebaikan orang Melayu dan bukan Melayu,"
katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO percaya krisis kepimpinan dalam Pas bukan semata-mata disebabkan isu kerajaan perpaduan.

''Apabila Datuk Nik Abdul Aziz nak adakan EGM untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengannya, ia bererti perpecahan kepimpinan sudah sedia ada dalam parti itu,'' katanya.
Cadangan kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta disokong Nasharuddin yang juga timbalannya bagaimanapun ditentang hebat oleh Nik Abdul Aziz serta semua sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

No comments: