Sunday, February 21, 2010

Wanita UMNO tulang belakang pemangkin ke arah mentransformasikan parti

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi yakin dan semangat baru yang ditunjukkan Wanita UMNO kini dapat membantu parti bangkit daripada kelemahan seterusnya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak. Wanita UMNO kini bukan berperanan sebagai 'tulang rusuk' parti, sebaliknya merupakan 'tulang belakang' serta pemangkin ke arah mentransformasikan parti.

Beliau berkata, keyakinannya itu bersandarkan kepada komitmen dan semangat 'meluap-luap' yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO terutama ketika menjalankan kerja-kerja parti sama ada di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi. Beliau menasihatkan ahli-ahli pergerakan itu bahawa parti akan menjadi lemah sekiranya pangkat, kuasa, pengaruh dan jawatan menjadi rebutan.

''Apa gunanya kita menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian atau Pusat tetapi dalam masa sama kuasa memerintah negara jatuh kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan?

''Adakah kita mahu lihat parti menjadi lemah kerana kita terlalu mahukan jawatan? Fikirlah secara inovatif iaitu dengan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan sendiri. Berilah imej yang baik kepada UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita UMNO: Wanita UMNO Nadi Transformasi dan Inovasi Negara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kehadiran kedua-dua pemimpin utama UMNO itu turut diiringi isteri masing-masing iaitu Datin Seri Rosmah Mansor serta Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Hadir sama dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selain Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan Wanita UMNO supaya sentiasa mementingkan usaha membela rakyat kerana ia merupakan agenda paling utama dalam parti.

Sebagai contoh beliau berkata, mereka tidak wajar mementingkan 'orang sekeliling' tanpa menghiraukan kelompok lain dalam masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.''Cuba lihat kehidupan ibu-ibu tunggal dan orang miskin, bagaimana nasib mereka? Sebagai parti yang prihatin kita wajib membantu mereka, bukan setakat tengok sahaja.

''Kita mahu setiap kali berlaku kesusahan, mereka cari UMNO bukan cari parti pembangkang. UMNO mesti dekat dengan rakyat, mesti membantu rakyat,'' katanya lagi. Atas asas ini katanya, beliau memperkenalkan tinjauan mesra dengan tidak perlu ada protokol dan yang terbaru menyelesaikan masalah di Kampung Baru.

Dalam perkembangan sama, Najib turut meminta Wanita UMNO memberi maklumat yang tepat kepada pucuk pimpinan tanpa perlu menyembunyikan sebarang fakta. ''Saya telah terlibat di dalam politik selama 35 tahun dan dalam tempoh ini saya dapati ada masanya laporan Wanita UMNO boleh dipakai, tetapi ada masa laporan mereka tidak boleh dipakai. Bila kita tanya mereka jawab 'okay Datuk'.

''Kita mahu ketepatan dalam menyalurkan maklumat dan inilah salah satu perubahan inovatif yang saya mahukan,'' jelasnya. Beliau turut menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Wanita UMNO yang seharusnya mendatangkan kesan atau hasil kepada objektif perjuangan parti.

Demikian lah ucapan PM yang sangat2 mengharapkan wanita turun padang ke akar umbi melihat permasalahan rakyat dan memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Semoga gagasan 1Malaysia berjaya dicapai dengan adanya peranan daripada golongan wanita UMNO Malaysia.
















Tuesday, February 9, 2010

PKR & PAS mula tidak sehaluan

Berdasarkan ulasan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berharap Pas tidak melupakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam segala urusan perbincangan dan kerjasama dengan UMNO.

Beliau percaya sebarang perbincangan antara tiga parti itu akan membuahkan hasil yang besar, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh rakyat negara ini.

Persaudaraan mantap dalam kalangan umat Islam, menurutnya, sudah pasti akan membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara selagi ia berpaksi kepada al-Quran dan bukannya semangat perkauman sempit.

"Bagaimanapun saya agak hairan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bernada sama iaitu Pas sudah sedia berbincang dan bekerjasama dengan UMNO.

"Kehairanan saya adalah kerana kedua-duanya sebelum ini begitu keras (menentang) sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO, duduk sembang pun tak mahu. Malahan Tok Guru sampai doakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pecah perut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam blognya, zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini.

Dalam hal ini, Zulkifli menimbulkan persoalan kenapa perkembangan yang dianggap luar biasa itu berlaku selepas perbicaraan kes liwat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan di mahkamah.

"Saya nampak semacam ada perubahan sikap kepada pimpinan Pas. Apakah mereka menjangkakan sesuatu akan berlaku kepada Anwar, maka mereka mencari insurans sekarang ini? Pimimpin PAS N PKR HARUS MENGKAJI SEMULA HALA TUJU IDEALOGI MEREKA YG SUDAH TIDAK RELEVAN. YAKIN LAHHH.. KERAJAAN BN SAJA YG MEMBELA RAKYAT!!!..

Hayati Empat Tonggak Utama Perubahan Penjawat Awam

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat tonggak utama agenda perubahan kerajaan termasuk konsep '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Perdana Menteri berkata, selain konsep 1Malaysia, tonggak-tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (PTK), Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10.

"Agenda kerajaan berdiri atas empat tonggak ibarat sebuah kerusi. Kalau ia merupakan kerusi yang stabil (dan) hendak duduk kita rasa selamat, sebaik-baiknya kerusi perlu ada empat kaki," katanya.

Beliau menjelaskan, dasar rakyat didahulukan adalah satu pendekatan yang mahu memperlihatkan bahawa kerajaan sekarang 'untuk rakyat dan kerana rakyat.'

"Ia bukan kerajaan untuk perniagaan korporat yang besar sebaliknya kerajaan rakyat.

"Jadi inilah yang perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri di JPM.

Perdana Menteri menegaskan, gagasan 1Malaysia bukan sekadar retorik sebaliknya membawa pengertian mendalam dari segi dasar pendekatan dan perubahan yang ingin dilakukan oleh kerajaan. Katanya, ia merupakan satu dasar yang murni bagi memacu perpaduan nasional dan kestabilan negara.

"Kita bergerak dalam satu keluarga besar menuju matlamat yang sama.

"Kerana dalam perjalanan kita mungkin timbul perkara yang tidak disengajakan atau dilakukan oleh mana-mana individu atau kumpulan yang ingin merosakkan keharmonian negara," katanya.

Najib berkata, penjawat awam juga perlu memastikan pencapaian diutamakan kerana kerajaan tidak mahu rakyat memandang sinis terhadap dasar-dasar yang diumumkan kerana mempunyai banyak persoalan ketika pelaksanaan.

Perdana Menteri berkata, dasar itu mempunyai hubungan rapat dengan tonggak kedua iaitu PTK yang mana ia merupakan komitmen daripada penjawat awam untuk melaksanakannya.

"Tonggak ketiga ialah Model Ekonomi Baru (MEB) yang mana kita akan bentangkan pada penghujung Mac ini bertujuan memberikan satu suntikan kepada pembangunan negara supaya berdaya saing.

"Kita akan berpindah kepada negara yang kompetitif dan ini akan mengukuhkan strategi ekonomi untuk negara," katanya.

Beliau berkata, tonggak keempat ialah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang mengandungi banyak ketetapan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan MEB.

"Jadi, ini empat kaki (tonggak) yang penting kepada agenda kerajaan untuk 2010.

"Saya harap semua penjawat awam akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat," kata beliau.

Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perpaduan nasional tidak harus dibiarkan.

"Ingat! Bara kecil yang tidak dipadamkan boleh menjadi api yang menghancurkan dan membinasakan.

"Jadi, kalau gereja dibakar, surau dibakar dan kepala babi dicampak ke dalam masjid, ini suatu perkara yang mesti ditangani oleh kita bersama,'' tegasnya.

Justeru beliau menekankan bahawa gagasan 1Malaysia amat penting bagi memupuk rasa kekeluargaan walaupun rakyat negara ini terdiri daripada kumpulan etnik, agama dan budaya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga mahu kakitangan awam memberikan penekanan kepada pemikiran kreatif dan inovatif.

"Konsep mewujudkan nilai kreatif mesti diaplikasikan dalam ekonomi dan pembangunan negara kita.

"Saya tidak mahu lagi pemikiran kita di tahap lama tetapi mewujudkan nilai," katanya.

Beliau memberi contoh sekiranya projek membina hospital menelan kos sebanyak RM1.4 juta bagi satu katil, maka sudah tentu ada pendekatan untuk melaksanakannya dengan kos RM500,000.

Selain itu, katanya, penjawat awam juga perlu membuat keputusan dengan pantas kerana ia mempunyai kaitan dengan tahap daya saing Malaysia dalam rekod dunia.

"Kalau Malaysia berada di kalangan 10 tangga teratas dari segi daya saing, sudah tentu orang akan melihat kita mempunyai kemampuan tinggi.

"Inilah agenda dan aliran pemikiran kita yang kalau digabungkan, Insya-Allah, 2010 boleh menjadi tahun yang berjaya.

Tuesday, January 26, 2010

King Ghaz Pahlawan Negara

ALLAHYARHAM Tun Ghazali Shafie cukup terkenal dengan sikap tegasnya terutamanya ketika menjalankan tugas. Kerana sifat tegas itulah beliau diberikan gelaran 'King Ghaz' oleh mereka yang pernah mengenali beliau. Biarpun tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet sejak 1984, King Ghaz pernah sesekali dilihat menghadiri majlis syarahan umum atau perbincangan ilmiah anjuran pelbagai pihak termasuk kumpulan kajian strategik tempatan dan antarabangsa.

Penulis sendiri pernah melihat Allahyarham aktif berkongsi pandangan dan pengalaman dengan para peserta dalam satu majlis perbincangan beberapa tahun yang lalu.
Sumbangan beliau kepada negara :
bermula pada tahun 1941 apabila menjadi ahli Pasukan Sukarelawan Malaya. Pada tahun 1961 pula beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Antara sumbangan besar beliau kepada negara ialah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

King Ghaz mula menyandang jawatan dalam Kabinet pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan kemudiannya Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan pada tahun 1972.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan sehingga Julai 1981 sebelum menjadi Menteri Luar dan meletak jawatan pada 1984.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi menyifatkan King Ghaz sentiasa bersikap hands on dan mengetahui sesuatu isu dari segala sudut semasa memimpin Kementerian Dalam Negeri.
"King Ghaz dihormati, disegani dan kadangkala digeruni oleh lawan dari dalam dan luar negara. Idea dan pendekatan beliau pada masa itu merupakan pendekatan di luar kotak. "Walaupun sekarang isu yang saya hadapi adalah berbeza seperti keganasan dan pendatang asing pengalaman, beliau tetap relevan kepada saya yang sekarang ini memikul amanah yang sama," katanya.

Sungguhpun pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet, jawatan terakhir Allahyarham iaitu Menteri Luar menjadikan beliau dikenang sehingga hari ini sebagai ikon dan legenda oleh mereka yang berpengalaman bertugas bersama beliau di Wisma Putra.
Bekas diplomat, Datuk Dr. Rajmah Hussain yang pernah menjadi Duta Wanita Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat (AS) pernah memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris lebih dua tahun lalu bahawa King Ghaz merupakan mentor beliau.

"Dengan King Ghaz, anda perlu sentiasa bersedia sepanjang masa. Beliau sentiasa mengharapkan pegawainya memberikan yang terbaik," jelas Rajmah kepada akhbar berkenaan. Dalam laporan tersebut, beliau turut mengimbau kenangan mengikuti King Ghaz ke India sebagai pegawai baru di Wisma Putra.

Ketika itu King Ghaz meminta Rajmah menyediakan pelbagai dokumen dan selepas semua tugasan di India selesai, pembantu King Ghaz pada ketika itu memberitahu Rajmah secara berbisik bahawa beliau sudah 'lulus' semua ujian yang diberikan oleh bosnya.
Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1980-1984 Tan Sri Zainal Abidin Sulong (yang pernah bekerja bersama Allahyarham ketika proses pembentukan Malaysia) berpendapat King Ghaz sebagai seorang yang berpengaruh dan mempunyai kemahiran meyakinkan orang lain.

Ketika diwawancara oleh sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris Zainal Abidin menyifatkan King Ghaz memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia.

"Beliau begitu rapat dengan Allahyarham Tun Razak, jika tidak silap, mereka merupakan rakan sekolah. Beliau juga berjaya meyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak banyak tahu mengenai politik.

"King Ghaz adalah seorang pemimpin yang mampu meyakinkan sesiapa sahaja termasuk semua pihak ketika di Kementerian Luar. Ya, beliau sangat berpengaruh.
"Dan ketika pembentukan Malaysia, beliau belum pun menjadi seorang menteri atau timbalan menteri. Hanya seorang penjawat awam. Tanpa King Ghaz perbincangan akan tidak ke mana-mana.

"Saya boleh katakan King Ghaz bukan sahaja bertindak sebagai jurucakap dalam proses pembentukan Malaysia tetapi pemangkin kepada idea pembentukan Malaysia. Saya berasa bertuah bekerja bersama King Ghaz," katanya dalam wawancara itu.

Mengenang kembali kenangan bertugas bersama King Ghaz di Kementerian Luar pula, Zainal Abidin menganggap ia merupakan tempoh terbaik sepanjang kerjaya beliau.

Monday, January 11, 2010

Lempar bom petrol, Salah Siapa?

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan insiden gereja dilempar bom petrol sehingga ada yang terbakar tidak bermakna semangat 1Malaysia telah menemui kegagalan. Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak menuding jari kepada parti itu kerana UMNO turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ganas seperti itu.

Malah katanya, UMNO mahu polis mengesan pihak yang melakukan jenayah tersebut dan menghukum mereka mengikut undang-undang negara."Kita menegakkan prinsip adil dan saksama kepada semua kaum, sebab itu bila saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara saya telah menekankan perkara ini melalui 1Malaysia.

"Jangan disebabkan satu dua gereja terbakar ada yang nak kata ini menafikan 1Malaysia. Ia tidak menafikan semangat 1Malaysia, semangat 1Malaysia akan tetap kita perjuangkan sebagai parti yang berkuasa," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata, di sini hari ini. Pada sidang akhbarnya selepas itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat khas Majlis Raja-Raja tidak perlu bersidang buat masa ini untuk membincangkan isu-isu membabitkan orang Islam dan Kristian.

"Setakat ini tidak perlu tapi kita tengok perkembangannya sebab raja-raja faham kedudukan pada masa ini. "Mereka semua mengharapkan isu ini diselesaikan dengan cara baik melalui lunas undang-undang dan semua pihak perlu saling menghormati satu sama lain," katanya.

Mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penjenayah yang melempar bom petrol sehingga menyebabkan kebakaran gereja, Najib berkata apa yang lebih penting ialah mendapatkan bukti terlebih dahulu. Katanya lagi, negara ini mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menghukum mereka. Sama2 lah kita fikirkan dan nantikan keputusannya..Semoga keputusan itu adil dan diterima oleh kedua-dua penganut Islam dan Kristian elakkan perpecahan amalkan perpaduan..Amin...Insyallah..

Wednesday, January 6, 2010

PM menghadap Agong Isu Kalimah ALLAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini bagi mempersembahkan taklimat mengenai isu kebenaran Herald The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly dengan alasan gereja itu berhak berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakimannya, beliau memutuskan bahawa mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.
Menurut Bee Lan, bukanlah satu kesalahan bagi seseorang yang bukan Islam menggunakan perkataan itu untuk menyebarkan agama selagi ia tidak digunakan terhadap seorang Muslim.
Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi God dalam bahagian bahasa Malaysia.

Hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi berkenaan. Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama Kristian di Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Malaysia. Kita berharap isu diselesaikan kerana boleh membabitkan keliruan dan perpecahan penganut Islam dan Kristian lagi pun ia isu sensitif kaum.

Thursday, December 31, 2009

AHLI PARLIMEN PERLU MENDISIPLINKAN DIRI DI SIDANG DEWAN

Satu sistem penggiliran di kalangan Menteri dan Timbalan Menteri selaku pengawas perlu dikuatkuasakan bagi memastikan kehadiran Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencukupi semasa sidang Dewan Rakyat berlangsung. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan itu yang telah dipraktikkan pada dua sesi Parlimen lepas tetapi bukan ketika ini, terbukti berkesan dengan tahap kewaspadaan ditingkatkan menjelang berlaku pengundian.

‘‘Katakan hari ini (sidang Dewan), saya selaku menteri diwajibkan hadir dalam Dewan dan apabila berlaku pengundian, saya akan mengingatkan semua Ahli Parlimen BN tentang kewajipan mereka untuk hadir. ‘‘Dalam segmen ini, semua menteri atau timbalan menteri akan diberikan tarikh mereka wajib hadir. Jika pada dua sesi sebelum ini, kehadiran mereka sepanjang hari, mungkin kali ini diwajibkan sekitar empat hingga lima jam. Dan sekiranya Ahli Parlimen berkenaan gagal hadir sidang, maka tindakan disiplin yang sesuai harus difikirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa satu sistem pengawasan dan penyampaian maklumat akan diwujudkan bagi memastikan kehadiran Ahli Parlimen BN mencukupi semasa sidang Dewan Rakyat. Menurut Perdana Menteri, sistem itu membolehkan Ahli Parlimen BN memastikan jumlah kehadiran mereka di Parlimen dapat menjamin kemenangan selesa kepada parti jika berlaku pengundian.

Kejadian pada 14 Disember lalu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah-bagi iaitu 66 menyokong dan 63 menolak. Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu, satu peraturan akan dikuatkuasakan melarang Ahli Parlimen BN menghadiri program atau mesyuarat luar yang tidak perlu ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung. Kabinet juga tidak membenarkan lawatan ke luar negara tanpa mendapat kelulusan. SEMOGA SISTEM PENGGILIRAN DAPAT MENDISIPLINKAN AHLI PARLIMEN MENGHADIRI SIDANG DEWAN!!!...