Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin Melayu yang masih keliru dalam perjuangan mereka sehingga meletakkan masa depan bangsa dalam keadaan yang tidak menentu dan gelap.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, masalah tersebut berlaku kerana terdapat sebahagian pemimpin Melayu yang lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada perjuangan membela bangsa, agama dan negara. "Saya rasa cukup sedih apabila kita bercakap tentang jambatan baru ke Singapura, ramai yang menganggap ia tidak penting malah ada juga yang tidak tahu. "Bagi mereka apa yang penting siapa nak jadi ketua cawangan, ketua bahagian atau nak jadi calon. Sebab itu kuasa Melayu terhakis. Kalau terus demikian, maka masa depan Melayu sangat gelap sekali," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Gagasan Melayu Perak (GMP) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden GMP, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail. Dr. Mahathir berkata, kehadiran begitu ramai orang Melayu pada majlis berkenaan jelas sekali menunjukkan perasaan cemas dan insaf tentang masa depan mereka. "Ini merupakan satu perasaan yang baik kerana kalau tidak insaf dan cemas, kita akan tidur. Orang Melayu memang macam itu, suka pada perkara yang mudah dan bila tidak ada buat apa-apa, mereka tidur," katanya.
Menurut beliau, orang Melayu mula bersatu selepas adanya cadangan penubuhan Malayan Union apabila menyedari ia akan menghakis kuasa raja-raja dan masa depan bangsa akan ditentukan oleh British. Pada masa itu katanya, barulah timbul rasa cemas seperti sekarang kerana bimbang ia akan menamatkan riwayat bangsa Melayu. Kata beliau, usaha menyatupadukan bangsa Melayu pada ketika itu adalah dengan menubuhkan UMNO untuk mempertahankan kedudukan mereka dan dalam keadaan cemas itu juga Melayu mempunyai kekuatan hasil perpaduan.
Jelas Dr. Mahathir, masalah timbul apabila begitu ramai orang yang hendak menjadi Yang Berhormat (YB) manakala golongan ulama dalam UMNO yang tidak ada tempat mula keluar parti. Katanya, apabila Pas ditubuhkan, undi Melayu berkurangan kerana berpecah sesama sendiri tetapi ramai masih berpendapat Melayu akan terus menyokong UMNO apabila Barisan Nasional (BN) menang berkali-kali dalam pilihan raya.
"Bagaimanapun masa telah berubah apabila ada pemimpin yang mahu jadi YB kerana hendak menjadi Perdana Menteri, menteri dan siapa yang tak dapat tempat akan mendapat kontrak.
"Niat untuk perjuangan sudah tidak ada tetapi lebih kepada elaun YB dan kedudukan. Makin lama makin merosot minat perjuangan UMNO di kalangan pemimpin," katanya.
Menurutnya, apabila perjuangan asal parti diketepikan, minat untuk mempertahankan bangsa, agama dan tanah air akan runtuh dan hilang sama sekali.
"Bila utamakan kepentingan diri maka rakyat mula tolak UMNO dan buktinya pada 2008 kita kalah teruk. Orang Melayu yang kecewa pilih parti lawan bukan sebab sayangkan parti lawan tetapi mesej kepada pemimpin. "Saya percaya masa depan orang Melayu gelap dan pilihan raya akan datang kita akan kalah jika mereka masih sanggup menjual diri kepada orang lain atau meneruskan sikap tamak," katanya. Dipetik Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment