Wednesday, December 31, 2008

“TAHUN 2008 : TSUNAMI POLITIK MELANDA MALAYSIA”

2008, banyak pergolakan politik dipertontonkan babak demi babak di media massa mencemaskan ditelinga rakyat dan cabaran besar bagi kerajaan untuk meleraikan gelombang tsunami politik melanda di Malaysia.

Di peringkat awal, rakyat sebagai penonton tergamam melihat pelbagai perkembangan berkaitan Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Empat hari sebelum pengundian berlangsung Suruhanjaya Pilihan Raya membuat kejutan dengan pembatalan penggunaan dakwat ke atas pengundi yang sudah dirancang sekian lama dengan belanja yang begitu besar untuk menyekat apa yang dipanggil pengundi hantu.

Penganalisis, Pemerhati Politik dan ahli-ahli UMNO juga meramalkan Barisan Nasional ( BN) akan meraih kemenangan dengan mudah dalam Pilihan raya itu, namun pengundi buat pertama kalinya menyerahkan empat lagi negeri, selain Kelantan yang sudah dikuasai lama oleh PAS kepada pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Tidak cukup dengan itu, mereka menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen, pertama kali sejak negara merdeka 51 tahun lalu. Dari sejumlah 222 kerusi Parlimen, BN meraih 140 kerusi, sementara selebihnya dirampas oleh pembangkang termasuk satu kerusi oleh calon Bebas.

Ini merupakan kemenangan terbesar pernah diraih oleh pembangkang, gabungan tiga Parti – Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS. Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pauh muncul wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Senario itulah ia dipanggil oleh pemerhati politik sebgai ‘tsunami politik’, pilihan raya umum 8 Mac mencetuskan rantaian reaksi sepanjang tahun, dan pada satu ketika meletakkan Malaysia dalam kumpulan negara tidak stabil dari segi politik.

Tsunami politik dilihat dari satu drama ke satu drama kerana beberapa minggu kemudian Anwar memulakan percaturannya dan membertahu penyokongnya bahawa pembangkang, atau kini lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat akan menumbangkan kerajaan BN pada 16 September “Membentuk Kerajaan”.

Tokoh yang petah berbicara itu bebas untuk bertanding dalam pilihanraya pada 14 April selepas diharamkan daripada menyertai politik aktif selama lima tahun berikut sabitan rasuah, membayangkan sebilangan Ahli Parlimen BN telah pun bersetuju melompat ke PR kerana mereka kurang senang dengan kepimpinan Abdullah.

Manakala Anwar pula menarik perhatian penonton dengan dakwannya, satu lagi drama dipertontonkan pada Jun bila sebuah dari parti komponen BN di Sabah, mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan mahu menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Pemimpin-pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP) yang menentang semangat BN dengan mendedahkan pekung di dada, kemudian keluar dari gabungan dan dengan itu BN kehilangan dua Ahli Parlimen iaitu TAWAU dan SEPANGGAR dan empat kerusi negeri di LUYANG, LIKAS, TANJUNG PAPAT dan ELOPURA.

Pada 26 Ogos, Anwar meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Berikutan itu, beliau dilantik Ketua Pembangkang baru di Dewan Rakyat, sementara hitungan tarikh 16 September diikuti dengan penuh minat oleh banyak pihak, hingga menyebabkan tercetusnya keadaan tidak menentu di kalangan rakyat.

Bagaimanapun, selepas begitu hebat diuar-uarkan, 16 September berlalu tanpa berlaku sebarang peristiwa yang menggegarkan suasana. Disebalik kegagalan itu, Anwar mendakwa rancangan itu terpaksa ditangguhkan beberapa hari lagi sementara menunggu respons daripada Abdullah terhadap permintaannya untuk menemui Perdana Menteri bagi menjamin peralihan kuasa yang lancar.

Demikianlah peristiwa demi peristiwa selama tiga bulan yang lalu, dan hari ini Malaysia masih di bawah kepimpinan Abdullah sementara Anwar terus membawa impian dan cita-citanya untuk menumbangkan kerajaan BN menerusi jalan belakang. Semoga tahun 2009 Kerajaan terus UNGGUL meneraju Malaysia di bawah pimpinan Najib...

1 comment:

waritarakyat said...

Saya percaya dan yakin bahawa Barisan Nasional terus kekal memerintah negara dengan aman dan makmur.