Monday, October 26, 2009

UMNO & PAS PERLU RUNDINGAN UNTUK PERPADUAN UMMAH

UMNO menegaskan komitmennya untuk mengadakan rundingan dengan Pas dalam mengukuhkan perpaduan ummah tidak ada titik noktah meskipun parti pembangkang itu kini mengalami krisis kepimpinan yang kritikal akibat isu kerajaan perpaduan. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah UMNO menerusi pendirian presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak kerana perpaduan ummah yang akan dicapai kelak membabitkan kepentingan menyeluruh orang Melayu dan bukan Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh orang Melayu termasuk sebilangannya yang 'meninggalkan' parti itu sebelum ini supaya kembali bertaut di bawah UMNO demi menjayakan proses perubahan khususnya gagasan 1Malaysia yang digerakkan oleh Perdana Menteri.
''UMNO tidak tetapkan tempoh tertentu (rundingan dengan semua pihak untuk kukuh perpaduan ummah), tidak ada titik noktah dan penutupnya.
''Maka atas dasar perubahan yang digerakkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang mahu melihat perpaduan itu terjalin, maka marilah kita tanpa mengira ideologi politik mencari jalan untuk memajukan negara ini, ini untuk kebaikan orang Melayu dan bukan Melayu,"
katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO percaya krisis kepimpinan dalam Pas bukan semata-mata disebabkan isu kerajaan perpaduan.

''Apabila Datuk Nik Abdul Aziz nak adakan EGM untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengannya, ia bererti perpecahan kepimpinan sudah sedia ada dalam parti itu,'' katanya.
Cadangan kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta disokong Nasharuddin yang juga timbalannya bagaimanapun ditentang hebat oleh Nik Abdul Aziz serta semua sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

BURSA MALAYSIA DIJANGKA TINGGI

Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu ini disokong oleh cadangan positif yang terkandung dalam pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat. Pendekatan pengukuhan fiskal kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit melonjakkan keyakinan pasaran dan keputusan kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit kepada 5.6 peratus pada 2010, daripada 7.4 peratus tahun ini, juga membawa keceriaan kepada pelabur.

Menyifatkan pengurangan bajet defisit sebagai satu 'langkah yang baik', para peniaga berkata, bajet mesra rakyat itu dijangka dapat mengekalkan momentum pasaran bagi minggu depan.
Mereka berkata, penekanan Bajet 2010 kepada pengurusan fiskal berhemat dan penggalakan 'nilai bagi wang' akan menjadikan negara sebagai ekonomi pendapatan tinggi.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata, kenaikan itu mungkin terhad memandangkan faktor-faktor luar lain yang masih kritikal kepada pasaran seperti pergerakan Wall Street dan pasaran serantau serta pendapatan korporat tempatan. Seorang penganalisis menjangkakan bajet itu mencukupi untuk membantu mengekalkan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada paras semasa tetapi jumlah dagangan mungkin kekal kecil ketika pasaran menjalani sedikit pembetulan.

Bajet itu akan memberi faedah kepada beberapa sektor secara langsung dan juga tidak secara langsung seperti hartanah, pembinaan, perlombongan, telekomunikasi dan teknologi, kata Ketua Inter-Pacific Research, Anthony Dass. "Beberapa langkah dalam bajet itu tepat pada masa untuk merangsang pasaran kekal menaik," kata Dass.
Pada Jumaat, FBM KLCI mencecah paras tertinggi baharu bagi tahun ini pada 1,267.1 apabila pasaran memberi reaksi positif kepada kekukuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman Bajet 2010. Indeks penanda aras itu naik 10.33 mata kepada 1,267.1, Indeks FBM Emas meningkat 55.72 mata kepada 8,515.58, Indeks FBM Top 100 menokok 60.17 mata kepada 8,302.55, FBM70 menambah 31.39 mata kepada 8,384.73 tetapi Indeks FBM ACE berkurangan 6,007.9 mata kepada 10,319.05.

Indeks Kewangan meningkat 177.89 mata kepada 10,613.87, Indeks Perladangan naik 81.3 mata kepada 6,206.49 dan Indeks perusahaan menokok 22.83 mata kepada 2,701.68.
Jumlah dagangan minggu yang baru berakhir berkurangan kepada 5.044 bilion saham bernilai RM6.428 bilion daripada 5.353 bilion saham bernilai RM6.183 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.408 bilion saham bernilai RM6.289 bilion daripada 4.750 bilion saham bernilai RM6.066 bilion sebelumnya. Jumlah dagangan waran belian jatuh kepada 106.79 juta saham bernilai RM27.657 juta daripada 110.489 juta saham bernilai RM27.935 juta minggu sebelumnya.-BERNAMA.

BAJET 2010 UNTUK KESEJAHTERAAN 1MALAYSIA

Kerajaan tidak membuat sebarang pengumuman mengenai pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Bajet 2010. Sebelum kita boleh menarik sedikit kelegaan, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu menyatakan kerajaan sedang dalam peringkat akhir menyiapkan kajian mengenai pelaksanaan dan implikasi GST kepada rakyat.
Bagaimanapun, Najib pernah menyuarakan sekiranya kerajaan melaksanakan GST, kadar cukai yang bakal dikenakan akan lebih rendah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan semasa, yang bakal diambil alih GST dan pengecualian kepada kumpulan berpendapatan rendah. Ini bertujuan untuk memastikan cukai baru tidak akan membebankan rakyat.
Meneruskan agenda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar, kerajaan telah mencadangkan pelbagai pendekatan bagi meningkatkan keselesaan rakyat.
Pendekatan yang diambil termasuk pengurangan kadar maksimum cukai pendapatan individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus pada 2010. Langkah itu memberi kelebihan kepada mereka yang memperoleh pendapatan melebihi RM100,000. Adalah menjadi harapan agar kerajaan dapat mengurangkan cukai yang sama bagi individu yang memperoleh pendapatan yang kurang daripada jumlah tersebut.
Bagaimanapun Bajet 2010 memberi kelegaan apabila pelepasan cukai peribadi dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM9,000 berkuat kuasa 2010. Sekali lagi kumpulan berpendapatan rendah bebas daripada pembayaran cukai ini. Peningkatan dalam pelepasan cukai peribadi sebanyak RM6,000 yang disumbangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan premium insurans nyawa kepada RM7,000.
Pertambahan pelepasan sebanyak RM1,000 yang diberi dalam skim pembayaran premium anuiti kepada syarikat-syarikat insurans, sama ada pembayaran bermula 1 Januari 2010 atau pembayaran tambahan premium bagi skim anuiti sedia ada mulai 1 Januari 2010.
Pelepasan cukai bagi langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun.
Usaha meningkatkan kemahiran modal insan masih menjadi agenda utama kerajaan pada Bajet 2010.

Strategi kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pelbagai inisiatif yang diumumkan bakal memberi faedah kepada rakyat dari generasi muda hingga yang matang. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah:
*Peruntukan sebanyak RM48 juta untuk mengubah kemudahan dan kurikulum pra-sekolah.
*RM32 juta untuk meningkatkan kadar literasi dan numerasi bagi murid-murid Tahun 1.
*RM20 juta untuk meningkatkan prestasi sekolah tinggi dan memperluaskan kualiti pendidikan
dan geran autonomi kepada pengurusan sekolah bagi melahirkan para pelajar cemerlang.
*Anugerah monetari dan bukan monetari bagi pengetua, guru besar dan kumpulan pengurusan sekolah yang memenuhi sasaran prestasi.

Kerajaan juga mencadangkan pelbagai pendekatan untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan meningkatkan lebihan pendapatan boleh guna bagi pembayar cukai individu tertentu.
Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan langkah-langkah yang meningkatkan beban cukai.
*Cukai pendapatan hartanah kembali lagi. Cukai itu pernah dihapuskan kini cukai itu akan diperkenalkan semula.
Bagaimanapun, pelupusan sehingga RM10,000, atau 10 peratus, bagi keuntungan (atau mana yang lebih besar) diberikan kepada individu.
Cukai terhadap pemberian hadiah antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, datuk dan cucu dan pelupusan hartanah kediaman buat kali pertama oleh rakyat Malaysia atau pemastautin tetap juga dihapuskan.Cukai perkhidmatan ke atas kad kredit dan kad caj juga dikembalikan semula selepas dihapuskan sejak 1 April 2001. Cukai perkhidmatan dicadangkan sebanyak RM50 bagi kad utama dan RM25 setahun bagi kad tambahan.

Kesimpulannya yang boleh diperkatakan Bajet 2010 bersesuaian dengan persekitaran ekonomi masa kini. Diharapkan tema Bajet 2010 boleh dicapai, yang mana untuk kesejahteraan 1Malaysia rakyat Malaysia.

Tuesday, October 20, 2009

16 Sept. Merupakan Hari Malaysia & cuti umum

Syukurlahh...Ini satu nikmat cuti kepada rakyat. Sikap mencintai tanah air perlu kita pupuk, disemai dan dihargai. PM mengumumkan keputusan itu. Mulai tahun depan, ulang tahun sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh negara. Keputusan itu yang dibuat oleh Jemaah Menteri baru-baru ini bertujuan mengingati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Menurutnya, ini bermakna mulai 2010, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Tambah beliau, menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejak 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung.

"Hari Merdeka pada 31 Ogos kekal diraikan bagi mengingati perjuangan mencapai kemerdekaan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan untuk mengingati detik bersejarah itu. "Hari Malaysia pula dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Marcus Majigoh (BN-Putatan) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Majigoh sebelum itu ingin mengetahui sejauh mana penerimaan rakyat ke atas seruan 'kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia'. Perdana Menteri menjawab soalan Majigoh itu serentak dengan 15 soalan Ahli Parlimen lain yang turut menyentuh isu serupa.

Dalam pada itu, Najib menambah, bagi meningkatkan lagi perhubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kekerapan penerbangan akan dipertingkatkan, pembinaan prasarana bakal diperbanyakkan dan isu kerakyatan akan diberi perhatian serius oleh kerajaan. Dalam jawapan lisan itu juga, Najib mengambil kesempatan menerangkan bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri telah menjadi gagasan yang digemari ramai khususnya generasi muda.

"Boleh dikatakan tahap pertama dalam pelaksanaan gagasan 1Malaysia telah mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita berdoa semoga niat suci kerajaan untuk memupuk perpaduan tulen benar-benar berjaya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Majigoh sama ada negara ini wajar mempunyai satu identiti bangsa seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina, Najib menjelaskan, beliau bersetuju dengan pendapat tersebut. Bagaimanapun, katanya, asas pembinaan negara sejak dari awal lagi berasaskan mengintegrasi dan bukannya mengasimilasi seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Filipina.

Semoga niat suci bersih kerajaan BN berjaya memupuk, menyemai disanubari rakyat Malaysia tercapai dengan jayanya..amin!!!..

Monday, October 12, 2009

MCA perlu menyelesaikan kemelut dengan segera

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Jawatankuasa Pusat (CC) MCA perlu membuat keputusan berdasarkan kepada resolusi yang telah diputuskan oleh perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu semalam.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan MCA perlu membuat keputusan segera bagi membaik pulih dan mengembalikan keyakinan ahli serta masyarakat terhadap parti tersebut.

MCA telah mengambil iktibar daripada keputusan EGM semalam yang merupakan badan tertinggi dalam mana-mana struktur parti

Keputusan EGM yang merupakan pembuat dasar tertinggi mesti menjadi asas kepada penyelesaian kepimpinan MCA

EGM MCA semalam menerima usul undi tidak percaya terhadap Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat, menyokong usul untuk menerima semula Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai anggota parti dan menolak usul mengembalikan Soi Lek sebagai Timbalan Presiden parti. Najib menegaskan, keputusan EGM MCA itu perlu dihormati dan sebarang tindakan yang perlu dibuat adalah berasaskan kepada kebijaksanaan meletakkan kepentingan Barisan Nasional (BN) dan MCA di atas segala kepentingan lain.

BN MENANG BESAR PRK N.31 DI BAGAN PINANG

TAHNIAH kepada Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad, jentera2 pilihanraya di Bagan Pinang juga rakyat Bagan Pinang. kali ini Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan memperolehi 8,013 undi menewaskan Pas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad meningkat kepada 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada Pilihan Raya Umum 2008. BN menang di semua lapan daerah mengundi termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada Mac tahun lalu.

Calon Pas, Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi. Pas kalah di semua 18 saluran mengundi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N31 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Sebanyak 82 peratus pengundi di Bagan Pinang hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Segala bentuk provokasi dan pergaduhan yang timbul menjelang hari pengundian tidak menghalang pemilih untuk keluar mengundi sekaligus melonjakkan sokongan kepada BN. Kemenangan itu juga memecahkan kebuntuan BN yang tewas di enam pilihan raya kecil di Semenanjung. BN hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Batang Air, Sarawak.

Ketika pengumuman dibuat, Mohd. Isa turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin BN yang lain. Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di luar dewan.

Ini menunjukkan rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui pembangunan di Bagan pinang sekaligus untuk 1 Malaysia. Semoga PIRU ke-13 kemenenangan berpihak kepada BN amin...