Monday, October 26, 2009

BURSA MALAYSIA DIJANGKA TINGGI

Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu ini disokong oleh cadangan positif yang terkandung dalam pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat. Pendekatan pengukuhan fiskal kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit melonjakkan keyakinan pasaran dan keputusan kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit kepada 5.6 peratus pada 2010, daripada 7.4 peratus tahun ini, juga membawa keceriaan kepada pelabur.

Menyifatkan pengurangan bajet defisit sebagai satu 'langkah yang baik', para peniaga berkata, bajet mesra rakyat itu dijangka dapat mengekalkan momentum pasaran bagi minggu depan.
Mereka berkata, penekanan Bajet 2010 kepada pengurusan fiskal berhemat dan penggalakan 'nilai bagi wang' akan menjadikan negara sebagai ekonomi pendapatan tinggi.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata, kenaikan itu mungkin terhad memandangkan faktor-faktor luar lain yang masih kritikal kepada pasaran seperti pergerakan Wall Street dan pasaran serantau serta pendapatan korporat tempatan. Seorang penganalisis menjangkakan bajet itu mencukupi untuk membantu mengekalkan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada paras semasa tetapi jumlah dagangan mungkin kekal kecil ketika pasaran menjalani sedikit pembetulan.

Bajet itu akan memberi faedah kepada beberapa sektor secara langsung dan juga tidak secara langsung seperti hartanah, pembinaan, perlombongan, telekomunikasi dan teknologi, kata Ketua Inter-Pacific Research, Anthony Dass. "Beberapa langkah dalam bajet itu tepat pada masa untuk merangsang pasaran kekal menaik," kata Dass.
Pada Jumaat, FBM KLCI mencecah paras tertinggi baharu bagi tahun ini pada 1,267.1 apabila pasaran memberi reaksi positif kepada kekukuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman Bajet 2010. Indeks penanda aras itu naik 10.33 mata kepada 1,267.1, Indeks FBM Emas meningkat 55.72 mata kepada 8,515.58, Indeks FBM Top 100 menokok 60.17 mata kepada 8,302.55, FBM70 menambah 31.39 mata kepada 8,384.73 tetapi Indeks FBM ACE berkurangan 6,007.9 mata kepada 10,319.05.

Indeks Kewangan meningkat 177.89 mata kepada 10,613.87, Indeks Perladangan naik 81.3 mata kepada 6,206.49 dan Indeks perusahaan menokok 22.83 mata kepada 2,701.68.
Jumlah dagangan minggu yang baru berakhir berkurangan kepada 5.044 bilion saham bernilai RM6.428 bilion daripada 5.353 bilion saham bernilai RM6.183 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.408 bilion saham bernilai RM6.289 bilion daripada 4.750 bilion saham bernilai RM6.066 bilion sebelumnya. Jumlah dagangan waran belian jatuh kepada 106.79 juta saham bernilai RM27.657 juta daripada 110.489 juta saham bernilai RM27.935 juta minggu sebelumnya.-BERNAMA.

No comments: