Thursday, April 15, 2010

Adakah anda mengalami kesukaran mengurangkan berat badan?

Adakah berat badan satu masalah bagi anda?
Adakah anda sedang mencari-cari panduan yang berkesan untuk menurunkan berat badan? Adakah anda sering mencuba untuk kurus tetapi gagal?
Adakah anda berasa kecewa apabila doktor dan para pakar tidak mampu membantu anda menurunkan berat badan?
Sekarang kita sama2 memahami cara mengurangkan berat badan jommm!...

Ramai yang bermasalah dan mencari-cari jalan jalan keluar masalah berat badan. Kerana itulah wujudnya pelbagai perniagaan pelangsingan yang rata rata mengambil peluang ke atas anda. Apabila anda mengunjungi pusat-pusat sebegini dan gagal mereka mempersalahkan anda semata mata. Anda akan dituduh makan banyak dan tidak berdisiplin, atau mereka sekali lagi cuba mengosongkan kocek anda dengan menawarkan sesuatu program yang lebih mahal. Hakikatnya, anda tidak perlu berbelanja mahal untuk kurus. Anda hanya memerlukan pengetahuan yang baik mengenai jenis makanan yang mampu meningkatkan kadar metabolik dan senaman yang berkesan untuk mencapai berat badan idaman anda.

Bila enzim dan hormon pembakar lemak tidak ada dalam badan kita, sudah tentu badan tidak mampu membakar lemak. Akibatnya berat badan tidak berganjak meskipun berpuasa dan berdiet dengan bersungguh-sungguh. Jadi diet dan kaedah meningkatkan enzim dan hormon badan perlulah seiring.

Perubahan dalam hidup anda
Anda adalah apa yang anda makan. Makan adalah satu daripada nikmat anugerah Tuhan dalam hidup kita. Makanan yang sedap mengghairahkan selera sehingga apabila kenyang kita masih mahu makan. Oleh kerana makanan kita mengandungi banyak lemak dan gula, kita berhadapan dengan masalah pengambilan lebihan gula dan lemak. Kesilapan memilih makanan menjadikan ramai rakyat Malaysia menjadi gemuk. Keadaan ini disebut sebagai klinikal obesiti.

Di negara kita terdapat beraneka jenis makanan hasil integrasi budaya antara penduduk berbilang bangsa. Tidak kurang juga makanan segera dari negara luar. Hampir semua jenis makanan menggoda selera makan kita.

Lebihan berat badan dan obesiti
Mengikut istilah ada perbezaan di antara overweight dan obesiti. Overweight adalah lebihan berat badan daripada yang sepatutnya dari segi saiz kerangka badan. Misalnya seorang ahli bina badan atau ahli sukan tertentu mungkin mempunyai berat badan yang lebih. Ini kerana kelebihan pada otot berat tulang badan dan kandungan air berbanding orang biasa namun dia tidak mengalami obesiti. Jadi yang dimaksudkan dengan obesiti ialah kelebihan lemak badan.
Jelaslah bagi kita bahawa menimbang berat sahaja bukan satu ukuran yang tepat bagi mengukur tahap obesiti.
Cara yang tepat adalah mengukur ketebalan lemak. Anda boleh mengambil ukur lilit lengan paha dan perut sebelum memulakan program melangsingkan badan. Jadikan ukuran sebagai rujukan anda menentukan keberkesanan program. BMI yang sering di jadikan rujukan ukuran berat adalah tidak tepat dijadikan takat rujukan kerana ia mengambil kira keseluruhan berat kita (berat tulang, otot dan lemak) tanpa mengambil kira amaun lemak dalam badan. Jadi, apabila anda bersedia untuk memulakan program menurunkan berat badan anda perlu mengambil ukuran ukur lilit pinggang, lengan, dada, leher. Ini lebih tepat berbanding berat semata mata.

Persediaan mental untuk kurus
1) Sudahkah anda memikir dengan teliti mengapa anda mahu mengurang berat badan? Keazaman dan kekuatan minda sangat perlu kerana tanpa keazaman yang kukuh anda tidak mungkin mampu menghadapi cabaran yang hebat sewaktu menjalani proses menurunkan berat badan.
2) Adakah anda ingin mengurangkan berat badan untuk diri sendiri atau untuk orang lain? Mereka yang mahu kurus atas desakan naluri sendiri lebih berjaya pada amnya.
3) Adakah anda bersedia untuk memberi tumpuan dan kesungguhan menukar tabiat, jenis makanan dan aktiviti anda bagi menjayakan rancangan pengurangan berat badan?
Jawapan ya kepada soalan-soalan di atas memberi erti anda bersedia untuk memasuki era baru dalam hidup anda. Semestinya hadiah yang menunggu anda sangat besar ertinya dalam kehidupan anda dan keluarga.

Makanan yang perlu dalam diet
Banyak kalori boleh dikurangkan dengan mengelak makanan berlemak dan bergula. Kalau membeli makanan pilihlah makanan yang labelnya menunjukkan kandungan kalori atau kandungan gula yang rendah. Makan daging merah, daging ayam dan ikan. Makan makanan yang kandungan gula sedikit. Perlu diingat jus buahan juga mengandungi gula yang tinggi. Minuman beralkohol mengandungi kalori yang tinggi.

Makanan yang berkanji dan jenis tenusu patut ada dalam diet harian kerana ia membantu badan kita mendapat zat dan vitamin untuk keperluan kesihatan. Kita juga perlu mengambil bahan dan bijirin sayuran tiap-tiap hari. Dadih, susu kurang lemak, keju dan apa-apa makanan yang mengandungi susu rendah lemak. Kaum wanita perlu mengambil kalsium untuk mengelak reput tulang.

Kaunseling pil diet
Pil diet boleh menyebabkan tekanan darah meningkat ke paras bahaya. Janganlah sekali-kali ambil pil diet tanpa preskripsi doktor kerana tidak berbaloi untuk mendedahkan diri kepada bahaya semata-mata kerana ingin badan yang cantik.

Saya tidak bersetuju dengan pil diet kerana ia hanya boleh menurunkan berat badan buat sementara sahaja. Jika kita tidak berubah sikap dan aktiviti kita, kita akan tetap berhadapan dengan permasalahan sebegini. Pengambilan pil diet tidak harus jadi amalan secara rutin kerana kesan sampingan yang tidak baik.

Jalan utama mengurangkan berat badan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengambil hanya makanan yang mempunyai glycemic indeks rendah serta bersenam.
Inilah jalan utama untuk membakar kalori dalam badan. Ia cara yang penting untuk mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan yang dikehendaki.

Senaman dapat menghalang berbagai penyakit dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Tidak menjadi hal untuk kita memilih apa sahaja senaman asalkan ia dapat membakar kalori dalam badan kita. Untuk menjadikannya berkesan, senaman hendaklah diikuti dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Sekurang-kurangnya sehari kita perlu membuat senaman selama 30 minit. Kita perlu tukar gaya hidup pasif kepada gaya hidup aktif. Bila ada peluang untuk berjalan kaki kita berjalan. Bila ada peluang untuk naik tangga kita naik dengan kaki bukan dengan lif atau eskalator.

Kaunseling dalam pemilihan diet selalunya diadakan untuk mengurangkan berat badan. Terdapat dua jenis terapi diet iaitu diet berkalori rendah (800-1500 kalori) harian dan diet yang kalori sangat rendah bawah daripada 800 kalori dengan mengguna cecair protein.

Hentikan memakan makanan yang kaya dengan karbohidrat, pada peringkat permulaan anda akan berasa lapar, cuba alihkan perhatian anda dengan aktiviti yang menyibukkan. Ambil hanya makanan berprotein seperti telur ikan dan berfiber seperti sayur dan buah. Insyallahh..Selepas seminggu tubuh anda akan segar dan kembali bertenaga dan lemak akan mula pecah... marilahh kita sama2 mencubanya!.. Semoga berjaya mengurangkan berat badan anda....


Thursday, April 8, 2010

TAHUKAH ANDA DENGGI MEMBAWA MAUT?

MINGGU LEPAS kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penyampai radio, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih mesra dengan panggilan Din Beramboi. Sebelum ini, Din Beramboi dikatakan terkena penyakit bawaan bakteria air kencing tikus ketika menjalani penggambaran di Zoo Negara.

Bahkan deejay radio Era FM itu turut menghidapi penyakit denggi berdarah yang menyebabkan organ dalamnya gagal berfungsi dan menghadapi pendarahan dalaman.

Pihak hospital memaklumkan organ penting seperti buah pinggang dan hati gagal berfungsi. Darahnya juga telah menjadi masam dan dijangkiti kuman dan bertambah buruk apabila dia dijangkiti denggi berdarah.

Pada hari Jumaat yang lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan rapi (ICU), Hospital Selayang. Kejadian ini sedikit sebanyak menyedarkan kita tentang perlunya pengetahuan penyakit seperti denggi berdarah. Mungkin ramai antara kita yang sudah biasa mendengar tentang denggi namun ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Minggu ini kita bersama Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari untuk mengetahui lebih lanjut tentang denggi berdarah.

Apa itu denggi?

Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.

Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis serotype virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza.

Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat hingga lima hari pada tahap awal penyakit.

Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:

i) Demam denggi klasikal.

Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau breakbone fever.

ii) Demam denggi berdarah.

Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

Tanda-tanda atau gejala:

1. Demam denggi klasikal

Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

2. Demam denggi berdarah

Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Dengue Shock Syndrome (DSS).

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah:

Rawatan:

Rawatan demam denggi klasikal:

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah:

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

-Mudah lebam

-Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi

-Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Sifat nyamuk Aedes

-Gigitan pada waktu pagi dan senja. (5 pagi - 8 pagi dan 5 petang - 8 malam)

-Bertelur dalam air mati yang jernih.

Sunday, March 28, 2010

BN wajar tentukan calon Hulu Selangor

Calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan dalam masa terdekat calonnya yang akan bertanding pada Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penentuan calon akan dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi BN.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad, kelmarin. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen tersebut pada 2 April ini.

Selain MIC, UMNO Selangor turut dikatakan mahu supaya calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti. Ditanya peluang BN dalam pilihan raya kecil tersebut, Muhyiddin yakin parti itu mampu merampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan banyak fakta dan bahan yang boleh memberi isyarat kepada rakyat siapa yang seharusnya dipilih.

Bagaimanapun, kita tidak hendak terlalu yakin. Kita akan bekerja keras kerana kita tahu pengundi adalah 'raja' yang akan menentukannya. "Jentera parti sentiasa bersiap sedia dan akan bekerja keras serta tidak bersikap leka di sebalik pelbagai kelemahan yang terserlah dalam pakatan pembangkang,"

Kita harus bekerja untuk BN dan menenangi calon BN di Hulu Selangor. Dengan ada senario pembangkang PKR yang kucar kacir seperti telur dihujung tanduk. Kita boleh menang dan merampaskan kembali kawasan Parlimen Hulu SELANGOR Insyallah...ALLAH SWT bersama dengan orang-orang yang sabar, mempejuangkan bangsa dan negara, bukannya menghuru harakan negara..hi3... 1 MALAYSIA..

Tuesday, March 23, 2010

DSAI mengelirukan gagasan 1Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi masa seminggu untuk menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditiru daripada slogan 1Israel.

Ia berikutan tindakan Anwar menuduh pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan perkara itu setelah bersetuju permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya Anwar diberi tempoh untuk membuat penjelasan kepada Parlimen berhubung isu tersebut.

"Sehubungan itu, sebarang tindakan lanjut selepas ini sama ada Ketua Pembangkang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atau tidak, ia akan diputuskan selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut memberi penjelasannya," kata Kiandee di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun isu yang pada asalnya di bangkitkan oleh Datuk Abd. Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sebaik sahaja tamat sesi soal jawab kira-kira pukul 11.30 pagi telah mencetuskan perang mulut.

Keadaan panas itu berlanjutan satu jam 10 minit dan pada satu peringkat membangkitkan kemarahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas). Ini kerana ketika itu gilirannya untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Abd. Rahman ketika membangkitkan isu itu berkata, berdasarkan muka surat 76 hansard Parlimen bertarikh 17 Mac 2010, Anwar telah menyatakan bahawa pada 2009 syarikat perunding Apco Worldwide memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Najib.

Menurut Anwar, syarikat yang sama telah memberi nasihat berhubung slogan 1Israel pada 1999 kepada Ehud Barak yang menjadi Perdana Menteri Israel ketika itu.

Abd. Rahman berkata, kenyataan Anwar bercanggah apabila syarikat perunding berkenaan tampil membuat penafian sehari selepas itu termasuk penglibatannya dengan Kerajaan Israel.

"Saya berpendapat bahawa Anwar ternyata mengeluarkan kenyataan sebagai seorang manusia yang tidak sabar menjadi Perdana Menteri hingga sanggup mencemar nama baik Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Namun, kebenaran yang diberi oleh Kiandee kepada Abdul Rahman mendatangkan rasa tidak puas hati kepada Saifuddin Nasution (PKR- Machang) serta beberapa ahli pembangkang lain seperti Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena).

Saifuddin mempertikaikan kebenaran itu kerana beliau berpendapat ia tidak mengikut aturan mesyuarat.

Datuk Ronald Kiandee kemudian berkata, kebenaran itu diberikan ialah berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 37(1) yang dibaca bersama 36(12).

Saifuddin mendesak Timbalan Speaker itu membenarkannya berhujah mengguna pakai aturan yang sama berhubung kenyataan yang dikeluarkan Mohamed Nazri pada sidang sebelum ini yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Selepas permohonannya dibenarkan, Saifuddin mendakwa Mohamed Nazri mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik undang-undang yang telah dimansuhkan ketika menggulung perbahasan dalam isu royalti minyak kepada Kelantan.

Mohamed Nazri yang diminta menjelaskan perkara itu berkata, beliau sedia disiasat berdasarkan hansard Parlimen.

"Saya anak jantan, tidak ada masalah (senyum)... saya rela disiasat. Apa yang saya jawab tidak berhasrat untuk kelirukan Dewan... saya anak jantan, anak betina di sana tak taulah," katanya.

Ungkapan 'anak betina' yang digunakan beliau terus menghangatkan lagi suasana Dewan Rakyat apabila beberapa anggota Parlimen wanita pembangkang bangun membantah dan mendesak Mohamed Nazri menarik balik perkataan tersebut.

Datuk Ronald Kiandee kemudian menenangkan suasana dengan menyatakan bahawa anggota Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat jahat dan ungkapan 'betina' yang diguna beliau membawa maksud 'tak berani'.

"Saya buat keputusan tidak ada niat jahat. Masalahnya, perkataan itu sekarang ini disalah guna, diolah begitu rupa oleh Yang Berhormat Ampang, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan salah erti lagi," kata Datuk Ronald Kiandee.

Tuesday, March 16, 2010

Dimana Rasa Cinta dan Kasih Sehingga Sanggup Membuang Bayi,Mendera & Merogol.

Tangisan seorang bayi yang baru menjenguk dunia pasti mengundang air mata ibu yang melahirkannya. Kesakitan serta-merta hilang diganti dengan rasa syukur dan bangga bergelar ibu.

Suara bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari itu juga bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya. Namun sayang sekali, kini tangisan kelahiran itu tidak lagi menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu. Malah ada ibu yang sanggup melenyapkan tangisan pertama zuriat yang dia lahirkan hanya kerana seorang lelaki. Lalu tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi.
Di mana harga kasih seorang ibu? Di mana letaknya nilai kemanusiaan fitrah wanita yang Allah SAW kurniakan kepada kaum Hawa?

Bermula dengan Oktober tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan. Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.
Dua minggu lalu, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia kerana didera teman lelaki ibunya.

Saya pasti ramai yang menitiskan air mata kala menatap seraut wajah Syafiah yang bagaikan tidur nyenyak ketika jenazahnya dikafankan. Ibarat sekuntum bunga yang cantik dan semerbak harumnya begitulah wajah manis anak tidak berdosa itu yang kematiannya menjadikan ramai ibu-ibu tidak lelap mata kerana simpati dan sedih yang amat sangat termasuk juga saya.

Pada 1 Mac, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput di dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di Segamat. Wanita itu dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya di dalam bungkusan plastik lalu ditinggalkan dalam tandas wanita pusat latihan memandu itu sebelum ditemui seorang kakitangan pusat latihan di situ. Sedihnya kerana mayat bayi malang itu ditemui kira-kira dua hingga lima hari selepas dibuang. Wanita yang dipercayai ibunya ditahan kurang 24 jam selepas mayatnya ditemui. Bayangkan! Itukah nilai kasih sayang seorang ibu?

Kisah sedih lagi menyayat hati ini adalah antara sebahagian lakonan hidup manusia yang semakin keliru dengan kehidupan mereka. Bukan satu atau dua tetapi telah banyak kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berlaku. Semuanya mendukacita dan memalukan. Dan saya pasti kejadian ini akan berterusan entah sampai bila selagi kita sebagai manusia dan ahli masyarakat tidak insaf dan mengambil iktibar akan segala kejadian yang berlaku. Ke mana hilangnya status institusi keluarga kita yang satu ketika bagaikan keluargaku syurgaku?

Apakah kerana cinta dihalang atau memang kerana rakusnya nafsu manusia fenomena ini bermaharajalela tanpa belas kasihan? Tidak dinafikan masalah rumah tangga dan keluarga menjadi salah satu punca berlakunya kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Nyata institusi keluarga kita semakin goyah. Kasih sayang antara ahli keluarga semakin pupus, ibu bapa bersikap lepas tangan lalu kehidupan berkeluarga sekarang menjadi ibarat masing-masing perahu masing-masing kayuh. Sampai atau tidak ke daratan, sendiri yang jawab.
Remaja atau wanita yang sudah berstatus ibu tunggal atau yang belum berkahwin kerap terjebak dengan cinta tiada noktah ini. Cinta datang dan pergi setelah nafsu disempurnakan.
Pengalaman bertemu penghuni beberapa buah rumah pemulihan dan perlindungan menjadikan saya percaya bahawa kebanyakan kes hubungan terlarang yang membawa kepada perkara terkutuk ini berpunca daripada kejujuran dan kesetiaan tidak bertempat kaum wanita terhadap pasangan mereka.

Terlalu daif tentang agama, percayakan kekasih, ingin mencuba seks, dirogol, pengaruh kawan-kawan yang negatif dan suka sama suka menjadi kata kunci berlakunya perbuatan keji yang menjadikan kaum wanita ini sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan cinta kasih kepada pasangan mereka.

Cinta juga meletakkan kebanyakan ibu tunggal yang kesepian berada dalam keadaan keliru untuk mendahulukan anak kandung atau kekasih hati. Kerana cinta semuanya dituruti. Apabila nafsu mengatasi keimanan maka syaitan akan berada di tengah-tengah. Kerana cinta juga mereka sanggup melihat anak sendiri diseksa dan dianiaya sedangkan itu darah daging yang menjadi bukti benih cinta terdahulu.
Kematian Syafiah Humairah memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mengabaikan sebarang kes penderaan sebaliknya lebih membuka mata dan telinga untuk melaporkan sebarang rasa curiga terhadap individu yang dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak. Jangan apabila sudah berlaku semua mahu membuka mulut dan bercerita.
Kepada wanita dan ibu tunggal yang sedang mencari cinta baru, hati-hatilah. Cinta bukan segala-galanya, tolonglah jangan tinggalkan anak-anak anda bersama teman lelaki jika tidak mahu melihat hidup mereka musnah dek cinta anda yang belum diketahui nokhtahnya.
Sanggupkah anda melihat ini semua berterusan? Jika tidak, ayuh kita sedarkan masyarakat supaya bangkit melindungi kanak-kanak dan jangan bersikap sambil lewa. Biarlah dianggap menjaga tepi kain orang asalkan satu nyawa dapat diselamatkan.

Buat ibu bapa, luangkan masa berkualiti dengan anak-anak, pupuk dan berilah kasih sayang kepada ahli keluarga anda kerana ia satu keperluan dan tanggungjawab. Jangan apabila terjadi seperti Safiah Humairah atau Aaliyah baru kita tersentak. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur. Aduhai Syafiah Humairah Sahari, bersemadilah dengan tenang di alam baqa. Di situlah tempat paling aman dan bahagia buat seorang anak yang suci bersih sepertimu. Al-fatihah!

Sunday, February 21, 2010

Berkongsi pendapat untuk menjayakan wawasan 1Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mahukan rakyat terus berkongsi pendapat dan mengemukakan maklumat berhubung langkah-langkah 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan bagi memastikan wawasan 1Malaysia menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata, langkah-langkah tersebut ialah Klinik 1Malaysia, Dana Penyelenggaraan 1Malaysia, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dan Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia.

''Kemudahan yang ditawarkan itu tidak berakhir di sini sahaja. Buat masa ini, PM ingin mendengar daripada anda iaitu pernahkah anda menggunakan mana-mana inisiatif daripada langkah berkenaan. ''Diharap anda dapat berkongsi pemikiran dengan mengemukakan komen anda melalui blog-blog sedia ada bagi memastikan 1Malaysia dapat menjadi kenyataan,'' katanya dalam blognya, www.1Malaysia.com.my hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini telah menerangkan tentang konsep 1Malaysia dan lapan nilai utamanya bermula daripada penerimaan hingga ketabahan. Najib bagaimanapun ingin menumpukan lebih jauh daripada konsep yang sedia ada dengan berkongsi maklumat terperinci berhubung langkah-langkah yang diperkenalkan itu.

Beliau menjelaskan, Klinik 1Malaysia yang bertujuan memberikan kemudahan segera bagi mendapatkan penjagaan kesihatan yang mampu dibiayai oleh semua golongan dengan bayaran RM1 itu, kini mendapat sambutan lebih 100,000 orang daripada 50 klinik yang diwujudkan.

Pendekatan melalui media baru adalah satu cara yang diminati oleh rakyat ketika ini, oleh itu PM boleh merasai denyut nadi rakyat, keperluan, kehendak dan kesusahan rakyat setiap masa dan hari selain, melalui pejawat awam di agensi2, jabatan2 kerajaan negeri n persekutuan n ngo. Oleh itu, sama2 la kita memberi komen-komen yang ikhlas di laman web, blog PM kita yang kita sayangi...Semoga ALLAH memberkati tujuan murni kerajaan BN untuk mengembalikan sokongan BN..

Wanita UMNO tulang belakang pemangkin ke arah mentransformasikan parti

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi yakin dan semangat baru yang ditunjukkan Wanita UMNO kini dapat membantu parti bangkit daripada kelemahan seterusnya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak. Wanita UMNO kini bukan berperanan sebagai 'tulang rusuk' parti, sebaliknya merupakan 'tulang belakang' serta pemangkin ke arah mentransformasikan parti.

Beliau berkata, keyakinannya itu bersandarkan kepada komitmen dan semangat 'meluap-luap' yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO terutama ketika menjalankan kerja-kerja parti sama ada di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi. Beliau menasihatkan ahli-ahli pergerakan itu bahawa parti akan menjadi lemah sekiranya pangkat, kuasa, pengaruh dan jawatan menjadi rebutan.

''Apa gunanya kita menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian atau Pusat tetapi dalam masa sama kuasa memerintah negara jatuh kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan?

''Adakah kita mahu lihat parti menjadi lemah kerana kita terlalu mahukan jawatan? Fikirlah secara inovatif iaitu dengan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan sendiri. Berilah imej yang baik kepada UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita UMNO: Wanita UMNO Nadi Transformasi dan Inovasi Negara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kehadiran kedua-dua pemimpin utama UMNO itu turut diiringi isteri masing-masing iaitu Datin Seri Rosmah Mansor serta Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Hadir sama dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selain Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan Wanita UMNO supaya sentiasa mementingkan usaha membela rakyat kerana ia merupakan agenda paling utama dalam parti.

Sebagai contoh beliau berkata, mereka tidak wajar mementingkan 'orang sekeliling' tanpa menghiraukan kelompok lain dalam masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.''Cuba lihat kehidupan ibu-ibu tunggal dan orang miskin, bagaimana nasib mereka? Sebagai parti yang prihatin kita wajib membantu mereka, bukan setakat tengok sahaja.

''Kita mahu setiap kali berlaku kesusahan, mereka cari UMNO bukan cari parti pembangkang. UMNO mesti dekat dengan rakyat, mesti membantu rakyat,'' katanya lagi. Atas asas ini katanya, beliau memperkenalkan tinjauan mesra dengan tidak perlu ada protokol dan yang terbaru menyelesaikan masalah di Kampung Baru.

Dalam perkembangan sama, Najib turut meminta Wanita UMNO memberi maklumat yang tepat kepada pucuk pimpinan tanpa perlu menyembunyikan sebarang fakta. ''Saya telah terlibat di dalam politik selama 35 tahun dan dalam tempoh ini saya dapati ada masanya laporan Wanita UMNO boleh dipakai, tetapi ada masa laporan mereka tidak boleh dipakai. Bila kita tanya mereka jawab 'okay Datuk'.

''Kita mahu ketepatan dalam menyalurkan maklumat dan inilah salah satu perubahan inovatif yang saya mahukan,'' jelasnya. Beliau turut menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Wanita UMNO yang seharusnya mendatangkan kesan atau hasil kepada objektif perjuangan parti.

Demikian lah ucapan PM yang sangat2 mengharapkan wanita turun padang ke akar umbi melihat permasalahan rakyat dan memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Semoga gagasan 1Malaysia berjaya dicapai dengan adanya peranan daripada golongan wanita UMNO Malaysia.